[VIDEO] Pemandu hilang kawalan punca 8 maut bas terhumban masuk gaung 30 meter


  • Berita
  • Isnin, 02 Okt 2023

Keadaan bas yang terbalik selepas terhumban dalam gaung di Tamil Nadu, India pada Ahad.

SEKURANG-KURANGNYA lapan orang maut dan ramai lagi cedera selepas bas pelancong yang membawa 55 penumpang terhumban ke dalam gaung di Tamil Nadu di selatan India pada Ahad.

Kemalangan berlaku di daerah Nilgiris pada malam Sabtu apabila bas itu hilang kawalan ketika melalui selekoh jalan.

Superintendan Polis Nilgiris, K Prabhakar berkata, laporan awal menunjukkan pemandu itu hilang kawalan di selekoh tajam menyebabkan bas itu terjunam menuruni lereng curam di lokasi kejadian.

"Siasatan sedang dijalankan dan hasil pemeriksaan awal mendapati pemandu tersebut disyaki bersalah kerana gagal mengawal kenderaan hingga mengakibatkan bas itu terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 30.5 meter," katanya.

Bas yang terlibat itu juga dilaporkan dalam perjalanan pulang dari lawatan ke stesen bukit Ooty.

Dalam pada itu, beberapa mangsa yang kritikal dan cedera dihantar ke hospital tempatan.

Sementara itu, Ketua Menteri Tamil Nadu MK Stalin sempat mengucapkan takziah dan mengumumkan pemberian pampasan sebanyak 2 lakh (RM11,309.08) untuk keluarga yang terkorban dalam kemalangan itu.

Beliau berkata, sebanyak 50,000 rupee (RM2,827.27) akan diberikan kepada mangsa yang mengalami kecederaan ringan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram