Ramai tak tahu, Hutan Merah Pahang antara 7 tempat 'healing' menarik di Malaysia!


  • Hobi
  • Khamis, 28 Sep 2023

Tujuh tempat 'healing' yang anda boleh terokai di Malaysia. - Gambar hiasan

JIKA anda mencari tempat yang jauh dari kesibukan kota dan ingin menikmati udara segar, ini senarai beberapa hutan yang kurang popular tetapi tidak kurang hebatnya.

Apabila anda merancang nak pergi 'healing', jangan lupa semak dengan pihak berkuasa negeri atau renjer hutan berkaitan terlebih dahulu sebab biasanya andai mahu memasuki tempat kawasan ini, ia memerlukan permit lebih-lebih lagi jika mahu berkhemah.

ulumuda-Sg-Muda-in-the-Morning

Hutan Simpan Ulu Muda

1. Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah

Hutan Simpan Ulu Muda merupakan salah satu daripada dua tempat di Semenanjung Malaysia yang mana anda boleh menemui 10 spesies burung rangkong atau dikenali sebagai burung enggang.

Selain itu, hutan ini mempunyai pelbagai jenis flora dan fauna seperti gajah, tapir, rusa sambar dan pokok tualang yang merupakan salah satu spesies pokok tropika tertinggi dan boleh tumbuh sehingga 80 meter (m) atau lebih.

Pada awal tahun, anda berpeluang melihat pemburu madu yang mempamerkan aksi berani memanjat pokok dengan memakai pakaian gelap untuk mengambil madu liar dari sarang lebah gergasi Asia.

Hutan simpan ini dianggap mudah dan tidak terlalu ekstrem kerana anda tidak perlu mendaki gunung tinggi jadi ia sesuai buat mereka yang berkeluarga untuk membawa anak-anak kecil.

Ia juga mudah untuk diterokai oleh pendaki yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti hiking dan ingin mencuba trek hutan.

Anda juga boleh belayar ke sungai untuk melihat hidupan liar tempatan, menerokai saltlicks atau sira selain menjelajah gua.

Ulu Muda terletak kira-kira 2 jam perjalanan menaiki kereta dari Alor Setar dan anda perlu memasuki hutan menggunakan bot selama sejam dari Jeti Muda.

Taman negara pulau pinang

Pintu masuk ke Taman Negara Pulau Pinang

2. Taman Negara Pulau Pinang

Taman Negara Pulau Pinang adalah taman negara terkecil di Malaysia tetapi ianya tetap seronok untuk diterokai.

Ia terletak di sudut barat laut Pulau Pinang dan hanya mengambil masa 30 minit jika anda memandu dari George Town.

Pintu masuk utama Taman Negara terletak dalam jarak berjalan kaki yang singkat dari perhentian bas utama Teluk Bahang. Dari situ, anda boleh memilih untuk bergerak ke Pantai Kerachut sekitar dua jam perjalanan atau ke arah barat laut ke Muka Head Lighthouse kira-kira tiga jam perjalanan berjalan kaki.

Dalam perjalanan ke mercu Muka Head, anda akan melalui Teluk Ailing yang mana ia merupakan Pusat Penyelidikan Marin di Malaysia.

Bagi yang merancang mengadakan lawatan ke Taman Negara Pulau Pinang, dicadangkan supaya anda singgah ke Pantai Monyet kerana pantai ini mempunyai keistimewaannya yang masih terpelihara.

Apabila sudah mendaki sehingga hujung trek, anda tidak akan dapat mendaki sehingga ke puncak Lighthouse namun pemandangan dari Muka Head cukup menakjubkan.

Jika anda ke Pantai Kerachut jangan lepaskan peluang untuk melawat satu pemandangan yang jarang ditemui iaitu Tasik Meromiktik atau juga dikenali tasik dua alam kerana air tawar dan air lautnya tidak bercampur memandangkan suhu dan ketumpatannya berbeza.

Hanya ada beberapa tasik seumpama ini di Asia dan ia adalah satu-satunya yang anda akan temui di Malaysia.

Di Pantai Kerachut juga, anda boleh melawat Pusat Pemuliharaan Penyu kerana pantai ini adalah tempat penyu laut hijau dan penyu Ridley Olive bertelur.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan matahari terbenam yang cantik dari pantai tetapi pastikan anda membawa lampu suluh untuk perjalanan pulang jika anda tidak berniat untuk menginap di mana-mana kem perkhemahan.

Taman negeri perlis

Taman Negeri Perlis

3. Taman Negeri Perlis

Negeri terkecil di Malaysia juga tidak terkecuali untuk menjadi sebuah taman negeri yang menakjubkan yang mana terdapat Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu dengan keluasan kira-kira 5,000 hektar.

Taman ini mempunyai beberapa tarikan unik yang membuatkan anda wajib kunjungi antaranya pokok meranti-gerutu putih. Pokok ini adalah semi-gugur kerana daunnya hanya gugur semasa musim panas yang panjang dan ia merupakan satu-satu seumpamanya di Malaysia.

Batu kapur yang tinggi di taman ini adalah sebahagian daripada Banjaran Nakawan yang merupakan sebahagian daripada Formasi Setul iaitu formasi batu kapur tertua di Malaysia dan rantau ini. Ianya terbentuk kira-kira 370 hingga 490 juta tahun yang lalu.

Batu kapur ini membentuk ekosistem unik yang mana spesies tumbuhan dan haiwan jarang ditemui boleh dijumpai di sini antaranya orkid, cicak gecko dan labah-labah.

Setiap tahun, antara April sehingga Ogos, ribuan burung spesies dari negara seperti China, Rusia dan Siberia akan datang ke taman ini oleh kerana cuacanya yang lebih sejuk.

Bukit Buluh in Pahang is also known as the 'red forest'. — Pusat Ekonomi Digital Pekan Damak

Bukit Buluh juga dikenali sebagai Hutan Merah.

4. Bukit Buluh, Pahang

Bukit Buluh yang turut mendapat jolokan nama 'Hutan Merah' terletak di Felda Padang Piol kira-kira 20 minit dari Jerantut.

Anda perlu meredah ladang kelapa sawit terlebih dahulu sebelum anda sampai ke kawasan hutan. Apabila anda sampai ke puncak bukit, anda akan disambut dengan pemandangan menarik dan luar biasa daripada batang dan dahan pokok yang memiliki rona kemerah-merahan.

Pokok ini dikenali sebagai pokok kelat gelam atau nama saintifiknya, Eugenia cerina daripada keluarga Hend of the Myrtaceae.

Pada ketinggian 371 m di atas paras laut, Bukit Buluh bukanlah bukit yang sangat mencabar untuk pendaki pro tetapi ia agak curam dan laluannya agak sukar di beberapa lokasi, jadi untuk pendaki baharu sila ambil perhatian. Pendaki harus mendaki kira-kira sejam untuk sampai ke puncak.

Taman Negeri Setiu Wetlands, Terengganu

Pintu masuk ke Taman Negeri Setiu Wetlands

5. Taman Negeri Setiu Wetlands, Terengganu

Jika anda sedang mencari percutian yang lebih santai dengan sentuhan budaya, pergilah ke sini di mana ia merupakan tanah lembap semula jadi terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Ia satu-satunya ekosistem tanah lembap di Malaysia yang terdiri daripada sembilan ekosistem yang saling berkaitan termasuk sungai, muara, paya air tawar, bakau, dataran lumpur, pantai, lagun, laut dan pulau.

Di sini, anda boleh bersiar-siar di laluan pejalan kaki dan mengetahui lebih lanjut tentang ekosistem tanah lembap di Malaysia.

Anda juga boleh melihat perkampungan nelayan berhampiran dan membeli-belah industri kotej seperti kraftangan yang diperbuat daripada daun kerecut dan pemprosesan gula kelapa.

Perjalanan ke Pantai Timur tidak lengkap tanpa menikmati makanan ringan yang diperbuat daripada makanan laut yang baru ditangkap seperti keropok lekor dan ikan celup tepung.

Taman Negara Bukit Lambir, Sarawak

Taman Negara Bukit Lambir

6. Taman Negara Bukit Lambir, Sarawak

Bukit Lambir merupakan salah satu taman negara kecil di Sarawak tetapi anda jangan risau kerana masih banyak aktiviti yang boleh lakukan di sini.

Ia diiktiraf oleh saintis dan penyelidik di seluruh dunia sebagai salah satu kawasan yang mempunyai kepelbagaian dari segi ekologi setakat ini, menurut Perbadanan Perhutanan Sarawak yang menguruskan taman-taman dan rizab alam semula jadi di Sarawak.

Lebih 200 spesies burung boleh dilihat di sini selain mamalia yang lebih besar seperti gibbon, tarsier dan juga harimau keruh.

Ianya mengambil masa selama 40 minit dari Miri dengan kereta untuk anda dapatkan pemandangan yang begitu indah di sini.

Bagi pendaki baharu, anda boleh berjalan kaki selama 15 minit dari pintu masuk ke taman Air Terjun Latak di mana anda boleh berenang menikmati sungai yang indah dan jernih serta berkelah.

Bagi pendakit yang lebih berpengalaman, pendakian selama empat jam ke puncak Bukit Lambir sepatutnya sudah cukup mencabar.

Maliau Basin, Sabah 3

Papan tanda sebelum memasuki Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau

7. Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau, Sabah

Amaran! Lembangan Maliau bukan untuk mereka yang lemah semangat.

Lembangan Maliau terletak di susuran Sungai Maliau dan Sungai Kinabatangan di negeri Sabah. Sungai Maliau merupakan anak sungai Kinabatangan, sungai kedua terpanjang di Malaysia, selepas Sungai Rajang.

Lembangan ini merupakan salah satu kawasan semula jadi yang masih menjadi misteri sehingga kini. Ia disempadani oleh tubir yang unik dan menggerunkan. Lembangan yang berbentuk hampir bulat itu boleh dilihat dari udara. Ia merangkumi kawasan hutan asli seluas 390 kilometer persegi.

Ia mempunyai ekosistem sendiri, belum pernah diduduki secara tetap dan mempunyai tinggalan kawasan yang luas untuk diterokai dan didokumentasi.

Menurut sumber ysnet.org, keseluruhan lembangan ini merupakan kawasan tadahan air tunggal luas, yang hanya disalirkan oleh sebatang sungai sahaja iaitu sungai Maliau yang mengalir keluar melalui jurang di tenggara lembangan, bertemu dengan sungai Kuamut dan akhirnya sungai Kinabatangan, jalan air yang terbesar dan terpenting di Sabah.

Jadi apa anda tunggu lagi? Jom kita terokai khazanah yang ada di Malaysia ini untuk korang 'healing'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram