SEORANG penumpang mendakwa ditinggalkan pemandu bas sebuah syarikat swasta kerana lambat menaiki kenderaan berkenaan selama satu minit mengikut waktu operasi perkhidmatan yang dijadualkan.
Menerusi video tular berdurasi 27 saat di TikTok @harisadliabdhamid, lelaki tersebut dilihat berlari dan memanggil pemandu berkenaan yang baharu sahaja bergerak meninggalkan stesen, namun tidak diendahkan.
Pengguna yang memuat naik video itu pada Isnin melaporkan bahawa kejadian tersebut dipercayai berlaku di hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan menuju ke Melaka.
“Waktu kejadian, bas dijadualkan bergerak pukul 9 malam, tetapi seminit selepas itu, pemandu terus tutup pintu dan saya maklumkan mengenai lelaki berkenaan tetap tidak peduli.
“Kesian sangat, pemandu bas tinggal begitu sahaja penumpang sedangkan boleh sahaja berhenti,” katanya.
Hantaran video berkenaan mendapat reaksi orang ramai yang kurang berpuas hati dengan sikap pemandu bas tersebut kerana disifatkan seolah-olah tidak bertimbang rasa.
Selain itu, terdapat juga pengguna TikTok yang turut berkongsi pengalaman sama ditinggal dan dimarahi oleh pemandu syarikat sama.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna berpendapat kemungkinan pemandu bas itu marah kerana sudah lama menunggu penumpang.
“Teruknya, langsung tidak beri peluang kepada penumpang, mungkin ada sebab dia terlewat satu minit,” tulis @Apang.
"Pernah jadi macam ini, saya duduk dalam bas, jerit pada pemandu suruh berhenti tapi dia tetap tidak mahu, saya pun bercakap kita mudahkan kerja orang, orang mudahkan kerja kita," tulis @miezan482.
“Serik naik bas itu, saya cakap baik-baik, namun dimarahnya semula. Sakit hati,” kata @PakkDerr.
Tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak pengusaha bas berkenaan setakat berita ini ditulis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram