TINDAKAN seorang remaja lelaki membawa anjing peliharaannya masuk ke kedai dobi layan diri mengundang kecaman ramai baru-baru ini.
Manakan tidak, melalui video tular yang dimuat naik di laman X (Twitter) pada Isnin itu, remaja berkenaan dilihat seolah-olah tidak menghormati sensitiviti masyarakat yang beragama Islam.
Dalam video berdurasi seminit lebih itu juga kedengaran dua pelanggan premis dobi berkenaan menegur tindakan remaja tersebut.
"Ini tempat awam, awak tak boleh bawa masuk anjing. Bawa juga masuk kenapa? Ini tempat umum," tegur pelanggan lelaki tersebut.
Namun, tegurannya itu tidak diendahkan oleh remaja lelaki berkenaan dan memberikan alasan dia tidak boleh meninggalkan haiwan tersebut di dalam rumah berseorangan.
Menurut remaja lelaki berkenaan, dia selalu membawa haiwan kesayangannya itu ke dobi berkenaan dan tidak pernah menjadi masalah serta turut mempersoalkan tindakan lelaki itu menegurnya.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila kedua-duanya dilihat bertikam lidah antara satu sama lain.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian tersebut berlaku.
Menurut individu yang berkongsi video berkenaan, dia hanya memuat naik video tersebut untuk memberi pengajaran terhadap remaja terbabit agar tidak berbuat demikian pada masa akan datang.
"Semoga tidak berlaku lagi pada masa akan datang, video ini bukanlah untuk memalukan sesiapa.
"Mungkin ada yang tidak tahu anjing ini haram dalam agama Islam," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh remaja lelaki tersebut ataupun pemilik kedai layan dobi berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram