SABAH FC membuka tirai kempen Piala Malaysia dengan kemenangan bergaya selepas membenam Kuching City FC pada perlawanan pusingan ke-16 di Stadium Negeri, Kuching pada 5 Ogos lalu.
Bekalan tiga gol yang diperolehi ketika beraksi di laman pihak lawan sebelum ini memberi satu keselesaan buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee (DOKS) untuk berada dalam landasan yang baik.
Oleh itu, dalam aksi timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Likas, Sabah itu, skuad Sang Badak dijangka akan mengekalkan rentak kemenangan kerana mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.
Sekitar sesi latihan barisan pemain Sabah FC. — Facebook/sabahfc
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang bakal merobek kubu Kuching City.
1) Ramon Machado
Penyerang import Sabah, Ramon Machado merupakan tonggak utama Sabah dalam barisan serangan yang memikul tanggungjawab untuk merobohkan benteng pertahanan pihak lawan.
Penyerang kelahiran Brazil itu sekali lagi menjadi harapan DOKS untuk merobek benteng pertahanan The Cats untuk aksi timbal balik yang akan berlangsung pada Sabtu.
Ketajaman Ramon di depan pintu gol merupakan kelebihan buat pasukan The Rhinos dalam meraih kemenangan menentang Kucing nanti dengan dia sudah menjaringkan enam gol dalam kesemua pertandingan, termasuk empat daripadanya dalam Liga Super.
2) Saddil Ramdani
Saddil Ramdani yang baru pulih dari kecederaan dianggap senjata baharu kerana dianggap mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan pihak lawan.
Pemain kebangsaan Indonesia itu merupakan salah satu pemain yang lincah dalam skuad Sang Badak kerana miliki skil untuk melepasi benteng pertahanan lawan dengan mudah.
Stamina tinggi serta rajin dalam merebut bola merupakan kelebihan Saddil dan dianggap penting oleh pengendali Sabah FC untuk meledak gol ketika berdepan dengan The Cats nanti.
Maka tidak hairan jika Saddil antara pemain dapat mencipta nama sebagai penjaring untuk membantu Sabah FC selangkah ke suku akhir Piala Malaysia selain sudah mencetak enam gol selepas 14 perlawanan Liga Super.
3) Park Tae-su
Pemain tengah kelahiran Korea, Park Tae-su juga dianggap antara barisan terpenting menentang Kuching City FC nanti kerana kemampuannya dalam mengawal bahagian tengah mampu menjadikan permainan Sabah lebih tenang dan kemas.
Selain itu, Tae-su juga seorang yang rajin untuk memberi tekanan kepada pihak lawan sehingga musuh tidak dapat bermain dengan lebih tenang dan teratur.
Tae-su yang mempunyai ciri fizikal yang gagah dan tinggi antara kelebihannya untuk mendapatkan bola di atas udara.
Oleh itu, pemain itu diramal antara pemain yang boleh mencetak jaringan ketika perlawanan menentang The Cats kerana sudah mencatatkan tujuh jaringan selepas 20 perlawanan berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram