Abang disyaki ada masalah mental tikam perut adik 9 tahun hingga mati


  • 112
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Suspek menikam mati adiknya yang berusia sembilan tahun dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Kinapulidan, Ranau pada Khamis. — Ihsan PDRM

SEORANG remaja ditahan kerana dipercayai menikam mati adiknya yang berusia sembilan tahun dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Kinapulidan, Ranau, Sabah pada Khamis lalu.

Suspek berusia 19 tahun menikam adiknya menggunakan pisau dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira enam jam kemudian di Hospital Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh jirannya sejurus selepas kejadian.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada 11.10 pagi semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Ranau," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Simiun berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lagi abang mangsa yang memaklumkan adiknya ditikam di bahagian perut semasa berada di ruang tamu rumah mereka.

"Polis masih menyiasat motif kejadian selain tidak mengenepikan kemungkinan suspek mengalami masalah mental," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ujarnya lagi, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan. — The Star / Durie Rainer Fong

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram