[VIDEO] Pesawat Rusia bawa tentera upahan meletup ketika mendarat di Mali


  • Benua
  • Khamis, 28 Sep 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan pesawat tersebut yang meletup selepas terbabas keluar daripada landasan.

SEBUAH pesawat yang dipercayai membawa kumpulan tentera upahan Rusia, Wagner dilaporkan terlibat dalam kemalangan sebelum meletup ketika melakukan pendaratan di Mali pada 23 September lalu.

Detik ngeri menimpa pesawat era Soviet yang dinamakan Ilyushin Il-76 itu turut dirakam dan tular di sosial media.

Menerusi klip tersebut, pesawat berkenaan dilihat mendarat dengan kelajuan yang agak tinggi di lapangan terbang Gao, Mali sebelum meletup dan mengalami kebakaran.

Maklumat mengenai nasib kesemua anak kapal terbabit bagaimanapun masih belum diketahui dengan terdapat spekulasi timbul mengatakan ia turut melibatkan sejumlah anggota Wagner yang kini menjalankan aktiviti ketenteraan di negara berkenaan.

Dalam pada itu, saluran Telegram VChK-OGPU yang mendakwa mempunyai hubungan dengan perkhidmatan keselamatan Rusia, menyatakan bahawa data awal menunjukkan kemungkinan kehadiran askar upahan di dalam pesawat itu.

Kehadiran pasukan tentera Wagner adalah bertujuan bagi menyediakan perkhidmatan keselamatan di negara Afrika itu dan turut menjadi penghubung penting untuk Kremlin bagi mempunyai akses terhadap sumber asli di benua itu.

Namun, ketidaktuan mengenai masa depan Wagner di Afrika mula timbul berikutan kematian pengasasnya, Yevgeny Prigozhin dalam nahas kapal terbang di Rusia pada bulan lalu.

Kematian tersebut berlaku selepas dua bulan pasukan tentera upahan itu melancarkan pemberontakan terhadap tentera Rusia yang dilihat sebagai tindakan mencabar kepimpinan Vladimir Putin.

Bagaimanapun, Kremlin menafikan sebarang penglibatan dalam nahas yang membunuh Prigozhin itu.

Ilyushin-76 ialah pesawat udara strategik empat enjin serba guna yang sering digunakan untuk menghantar jentera berat ke kawasan terpencil yang kurang mendapat akses.

Pesawat itu telah dikesan di pelbagai wilayah Afrika yang pada masa sama turut dilaporkan menerima kehadiran kehadiran pasukan tentera upahan Wagner.

Dalam pada itu, sumber yang bertentangan dengan kerajaan di Mali melaporkan pesawat itu mungkin dikaitkan dengan Wagner sementara beberapa laporan lain yang mengambil sumber tempatan menyatakan pesawat terbabit adalah milik Tentera Mali yang membawa bekalan logistik ketenteraan.

Pada masa sama, akaun Telegram Grey Zone, yang mempunyai hubungan dengan Wagner menafikan bahawa terdapat ahli pasukan tentera upahan berkenaan di dalam pesawat pada waktu nahas berlaku.

Menurut siaran yang dikeluarkan pada Rabu lalu, ia memaklumkan bahawa penerbangan itu digunakan tentera tempatan untuk mengangkut barangan bagi pelbagai tujuan.

Sementara itu, pengguna media sosial menyatakan bahawa pesawat yang terhempas itu didaftarkan di Belarus dengan nombor kod EW-412TH serta melalui dalam perjalanan ibu negara Belarus, Minsk ke Mali sebelum sepatutnya berlepas ke Istanbul, Turkiye. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram