MOSCOV dan Yevgeny Prigozhin, ketua kumpulan tentera swasta Wagner, mencapai kata sepakat hasil pengantaraan Presiden Belarus Alexander Lukashenko lewat Sabtu, sekali gus mengelakkan berlakunya perang saudara di negara itu, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita RIA Novosti.
Prigozhin telah menerima cadangan Lukashenko untuk menghentikan kemaraan tentera upahan Wagner dan meredakan ketegangan, menurut laporan itu.
Pada pagi Sabtu, Putin memaklumkan rakan sejawatannya dari Belarus mengenai situasi di Rusia mengenai kumpulan Wagner.
"Presiden Belarus mengadakan perbincangan dengan Yevgeny Prigozhin.... Mereka mencapai persetujuan bahawa pertumpahan darah beramai-ramai di wilayah Rusia tidak boleh diterima," perkhidmatan akhbar presiden Belarus itu dipetik sebagai berkata.
Pejuang Wagner kemudiannya meninggalkan wilayah Rostov di selatan Rusia dan menuju ke kem lapangan mereka, lapor agensi berita TASS Rusia.
Kes jenayah terhadap Prigozhin akan digugurkan, dan beliau akan pergi ke Belarus, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov memberitahu pemberita pada lewat Sabtu, tanpa mendedahkan apa yang akan dilakukan Prigozhin di Belarus.
Lukashenko telah mengenali secara peribadi dengan Prigozhin selama kira-kira 20 tahun dan "ini adalah cadangan peribadinya yang dipersetujui Putin.
"Terdapat matlamat yang lebih penting untuk mengelakkan pertumpahan darah, untuk mengelakkan konfrontasi dalaman, untuk mengelakkan pertembungan dengan keputusan yang tidak dapat dijangka. Demi matlamat ini usaha pengantaraan Lukashenko dibuat, dan Presiden Putin membuat keputusan yang sesuai," kata jurucakap itu.
Pertelingkahan dengan kumpulan Wagner tidak akan menjejaskan operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine.
Sebelum itu, media melaporkan Prigozhin, bersama pejuangnya dilapor telah meninggalkan bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia.
"Wagner meninggalkan Rostov dan menuju ke kem lapangan mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik Gabenor wilayah Rostov Vasily Golubev sebagai berkata di Telegram pada Ahad.
Hantaran di media sosial menunjukkan Wagner meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Daerah Tentera Selatan Rusia di Rostov-on-Don dan mengeluarkan peralatan ketenteraan dari bandar itu.
Terdapat rakaman video yang memaparkan Prigozhin meninggalkan Rostov-on-Don dengan menaiki kereta.
Wagner menuduh tentera Rusia menyerang pejuangnya pada Jumaat dan kumpulan itu kemudiannya menyeberang dari Ukraine ke bandar Rostov-on-Don.
Sebagai tindak balas, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan di Rusia memulakan prosiding jenayah terhadap Wagner kerana "pemberontakan bersenjata."
Putin melabelkan kebangkitan Wagner sebagai satu tindakan "pengkhianatan."
Prigozhin sebelum itu berkata pejuangnya akan meneruskan perjalanan ke Moscow, mendorong Kremlin untuk meningkatkan langkah keselamatan di pelbagai wilayah di negara itu.
Dia kemudian mendakwa pejuangnya memutuskan untuk berpatah balik bagi mengelakkan pertumpahan darah apabila mereka berada 200 kilometer (124 batu) dari Moscow, manakala Presiden Belarus Alexander Lukashenko berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan ketua Wagner dengan persetujuan Putin, dan Prigozhin menerima perjanjian untuk "mengendurkan ketegangan.” — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram