[VIDEO] 'Kami mahu selamatkan Rusia', detik tegang ketua Wagner, menteri pertahanan Rusia tersebar


  • Benua
  • Ahad, 25 Jun 2023

Prigozhin (duduk, tengah) ketika berunding bersama dua pegawai tinggi Kementerian Pertahanan Rusia dalam video yang tersebar di Telegram pada Sabtu.

KRISIS dalaman yang tercetus membabitkan kumpulan tentera swasta Wagner bersama tentera Rusia sejak Jumaat lalu hampir sahaja menyebabkan berlakunya perang saudara di negara tersebut.

Di tengah-tengah ketidaktentuan itu, tersebar satu video di Telegram sejak Sabtu yang menyaksikan 'rundingan' tegang antara ketua kumpulan tentera swasta Wagner, Yevgeny Prigozhin dan pegawai tinggi tentera tentera Rusia.

Perbincangan yang dipercayai berlaku di ibu pejabat Daerah Tentera Selatan di Rostov-on-Don itu melibatkan Timbalan Menteri Pertahanan, Yunus-Bek Yevkurov dan Timbalan Ketua Staf, Vladimir Alexeyev.

Menerusi transkrip penuh dikongsikan media meduza, Prigozhin didengar mempertahankan tindakan ketenteraan agresif kumpulannya terhadap pasukan tentera Rusia.

Malah dia juga menuduh pasukan tentera Rusia melalukan serangan yang mengenai orang awam dan kemudahan orang ramai.

Bagaimanapun, Yevkurov menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan ia kali pertama didengarinya sambil turut meminta Prigozhin untuk mengundurkan tenteranya.

Yevrukov turut mempersoalkan sama ada Prigozhin yakin tindakan ketenteraan dilakukan itu benar-benar tepat dan ia dijawab dengan tegas oleh ketua kumpulan tentera swasta terbabit.

"Betul sekali. Kami mahu menyelamatkan Rusia," ujar Prigozhin.

Pada petang Jumaat, Prigozhin menuduh Kementerian Pertahanan Rusia melakukan serangan peluru berpandu ke atas kem Kumpulan Wagner dan mengumumkan unitnya sedang melancarkan 'perarakan keadilan' terhadap kepimpinan tentera Rusia.

Susulan daripada itu, pasukan Wagner turut mengepung beberapa bangunan tentera dan pentadbiran di Rostov-on-Don.

Dalam perkembangan terbaharu, Xinhua yang memetik laporan agensi berita RIA Novosti melaporkan Moscow dan Prigozhin mencapai kata sepakat hasil dari pengantaraan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko pada lewat Sabtu.

Menurut laporan itu, Prigozhin dilapor menerima cadangan Lukashenko untuk menghentikan kemaraan tentera upahan Wagner dan meredakan ketegangan yang berpotensi mencetuskan perang saudara di negara berkenaan.

Pejuang Wagner kemudiannya meninggalkan wilayah Rostov di selatan Rusia dan menuju ke kem lapangan mereka, lapor agensi berita TASS Rusia.

Hantaran di media sosial menunjukkan Wagner meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Daerah Tentera Selatan Rusia di Rostov-on-Don dan mengeluarkan peralatan ketenteraan dari bandar itu.

Terdapat rakaman video yang memaparkan Prigozhin meninggalkan Rostov-on-Don dengan menaiki kereta. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram