[VIDEO] Poland kerah 10,000 tentera ke sempadan Belarus selepas tindakan provokasi Rusia


  • Benua
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Mariusz berkata, peningkatan itu merupakan hanya langkah pencegahan dan bukannya bertujuan sebagai bagi memusuhi negara jirannya itu seperti didakwa Minsk dan Moskow. — Reuters

POLAND meningkatkan kehadiran tentera di sempadannya pada Sabtu susulan tindakan provokasi daripada negara jirannya, Belarus yang merupakan sekutu Rusia.

Menteri pertahanannya, Mariusz Blaszczak berkata, beberapa kumpulan baharu tentera negara kini ditempatkan berhampiran kawasan bersempadan dengan Belarus.

Tegasnya, peningkatan itu merupakan langkah pencegahan dan bukannya bertujuan memusuhi negara jirannya itu seperti didakwa Minsk dan Moskow.

“Tidak dapat disangkal lagi bahawa rejim Belarus bekerjasama dengan Kremlin dan bahawa serangan ke atas sempadan Poland bertujuan untuk menggugat kestabilan negara kami,” kata Mariusz.

Dua helikopter tentera Belarus sebelum ini dilaporkan memasuki ruang udara Poland minggu lalu, iaitu satu tindakan provokasi yang dianggap oleh Poland sebagai sengaja dilakukan.

Mariusz berkata, tindakan diambil oleh Belarus "menimbulkan ancaman kepada keselamatan negaranya" dan atas sebab itu, Poland sedang membina kapasitinya "untuk menghalang pencerobohan".

Beliau berkata, seramai 10,000 tentera Poland akan ditempatkan di sempadan dengan Belarus, sebagai tambahan kepada Pengawal Sempadan biasa.

Dalam pada itu, Lithuania turut menutup dua daripada enam titik sempadannya dengan Belarus ketika ketegangan antara kedua-dua jiran itu meningkat.

Kerajaan di negara tersebut sebelum itu menerima amaran terhadap kemungkinan provokasi dari Belarus dan pejuang tentera upahan Rusia, Wagner, yang kini sebahagiannya berpangkalan di negara jirannya itu.

"Dengan memberikan perlindungan kepada askar upahan Wagner, Belarus telah menjadi sebuah negara yang menerima kumpulan pengganas", kata Timbalan Menteri Luar Lithuania, Mantas Adomenas.

Lithuania pada masa sama turut percaya Belarus berpotensi membuat cubaan merekrut warganegaranya yang melancong di wilayah tersebut untuk tujuan pengintipan.

Ia dilakukan dengan cara memberi tekanan kepada kumpulan terbabit atau memeras ugut dengan memeriksa kandungan telefon mereka.

"Semua warga Lithuania yang melancong ke Belarus mesti menilai dengan teliti risiko dihadapi, termasuk kesihatan dan nyawa mereka," kata ketua perkhidmatan pengawal sempadan, Rustamas Liubajevas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram