OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong dari India yang hilang sejak 22 September lalu ketika mendaki Gunung Jasar, Cameron Highlands, Pahang yang disambung pada Khamis menemukan kesan tapak kaki berkemungkinan jejak mangsa.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pasukan team D yang mencari di sekitar Sg Ubi, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menemukan kesan tapak kaki dan kesan dilalui orang.
"Komander Ops menganggapkan berkemungkinan jejak mangsa, pencarian hari ini (Khamis) telah fokus dalam radius 5 kilometer, melibatkan kawasan denai melibatkan tempat terlibat bermula di Gunung Jasar dan Kampar PAS menghala ke Bharat Tea,” katanya dalam satu kenyataan.
Zufadli berkata, sasaran pencarian ialah sekitar 500 meter dari Gunung Jasar menggunakan sweeping kiri kanan denai secara menyeluruh.
Antara anggota bomba yang terlibat dalam operasi SAR pada Khamis. — JBPM
Bagaimanapun SAR yang mengandungi kekuatan lebih 70 anggota itu ditangguhkan pada petang Khamis dan perancangan operasi pada Jumaat akan memfokuskan di kawasan menghala jejak yang dikesan, iaitu 500 meter dari puncak Gunung Jasar.
"Pencarian juga akan memfokuskan kawasan cerun dan ‘off trail’ di sekitar kawasan yang mempunyai jejak,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Cameron Higlands DSP Azri Ramli dalam kenyataan memaklumkan Nandan Suresh Nadkarni, 44, dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands sejak 22 September lepas.
Mangsa telah mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 Sept.
Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 September, mangsa keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, Tanah Rata berdasarkan beberapa rakaman CCTV yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram