LELAKI yang dilaporkan dihanyutkan arus deras Sungai Tanum semasa menuruni Gunung Tahan di Kuala Lipis pada Ahad, ditemukan lemas.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat Haniff Harun, 47, ditemukan pada 11.20 pagi Isnin, tersangkut dalam sungai kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
Haniff yang berasal dari Kampung Paloh Haji Daud, Kuala Terengganu difahamkan menyertai aktiviti mendaki gunung itu bersama sembilan individu.
Mereka yang dipandu arah masing-masing seorang malim gunung dan porter memulakan pendakian pada Jumaat lepas (20 Januari) melalui laluan masuk Merapoh dan dijadualkan turun pada Selasa.
Bagaimanapun, kumpulan itu terpaksa berpatah semula ke Kuala Jeram, akibat cuaca buruk dan kejadian didakwa berlaku semasa mereka menyeberangi sungai selebar kira-kira 20 meter.
Operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak petang Ahad, melibatkan lapan pegawai dan 58 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram