Penjual buah maut ditikam depan rumah di Kuala Lumpur


  • 112
  • Rabu, 27 Sep 2023

Pihak polis berjaya menahan empat lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 53 tahun untuk membantu siasatan berkenaan kejadian tersebut.

SEORANG lelaki warga emas maut selepas ditikam di hadapan sebuah rumah dua tingkat di Taman OUG, di Kuala Lumpur pada Selasa malam.

Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ah Kau, 80, yang juga seorang penjual buah-buahan ditemui mati dengan kesan kecederaan di muka dan badan akibat daripada ditikam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, bertindak atas maklumat awam, pihak polis pergi ke lokasi kejadian di Jalan Hujan Emas 5, Taman OUG.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah terbaring di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat dalam keadaan berdarah dan lengkap berpakaian.

"Saksi yang juga penyewa rumah berkenaan memaklumkan bahawa mangsa kerap datang ke rumah tersebut mengambil buah-buahan untuk dijual ke pasar pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Amihizam berkata, hasil siasatan susulan, pihaknya berjaya menahan empat lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 53 tahun untuk membantu siasatan.

"Pada masa ini pihak polis masih memburu beberapa lagi suspek lain untuk siasatan lanjut.

"Bagaimanapun, pada masa ini kita masih menyiasat motif sebenar kejadian bunuh ini dan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang awam juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau tampil di mana-mana Balai Polis berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram