ADVOKASI Perusahaan dan Industri Sdn Bhd (API) menyifatkan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melakukan lebih banyak usaha untuk membasmi masalah rokok seludup dan menghentikan ketirisan besar-besaran dalam ekonomi Malaysia.
Pengarah Urusannya, Datuk Fazli Nordin berkata, cara terbaik yang perlu dilakukan adalah dengan memperkenalkan dasar baharu yang berkesan untuk menangani perdagangan rokok tidak sah.
"Kerajaan Madani harus mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan idea dan langkah untuk menangani permintaan rokok seludup yang murah ini," katanya dalam kenyataan sebagai mengulas tindakan rampasan rokok seludup yang didedahkan oleh Pasukan Gerakan Marin, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara.
Hal ini kerana, dengan mengambil langkah inovatif itu, kerajaan Madani berpeluang untuk mencapai apa yang belum dapat diselesaikan oleh Kerajaan terdahulu untuk menghentikan masalah rokok seludup.
Fazli turut berkata, setakat ini, langkah yang pernah dibuat untuk menangani pembekalan rokok seludup ke negara ini hanya dalam Bajet 2021, seperti larangan pemindahan kapal.
Ketiadaan langkah baharu atau dasar baharu mengakibatkan masalah rokok seludup semakin meningkat dan membawa kerugikan kepada negara.
"Kelaziman rokok seludup di Malaysia adalah pada 55.3 peratus pada Mei 2023, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM5 bilion cukai tidak dikutip setiap tahun," katanya.
Fazli turut menyentuh punca rokok seludup semakin berkembang pesat adalah disebabkan oleh perbezaan harga yang dijual jauh lebih murah.
"Rokok seludup dijual pada harga purata RM6 sebungkus, jauh lebih menarik berbanding rokok sah yang dijual pada harga paling rendah RM12 sebungkus," katanya.
Fazli turut menyifatkan bahawa usaha yang dilakukan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengurangkan masalah rokok seludup seperti memindahkan gunung menggunakan sudu iaitu tidak membawa perubahan.
"Tindakan penguatkuasaan (seperti rampasan dan serbuan) sahaja tidak akan memberi kesan apa-apa.
API turut menyokong komen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin yang berkata, aspirasi Kerajaan untuk mengharamkan rokok untuk generasi akan datang di bawah dasar Generasi Penamat akan berakhir dengan kegagalan kerana tahap perdagangan rokok tidak sah pada Selasa.
"Kita mesti belajar daripada sejarah bahawa dasar larangan hanya akan menguntungkan perdagangan haram, memperkayakan penjenayah dan menyebarkan rasuah di institusi awam kita," katanya.
API yang merupakan peguam bela untuk kelestarian, pertumbuhan perniagaan dan pencegahan jenayah komersial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram