Angkara sos cili RM1, peniaga umur 45 tahun diburu polis Melaka


  • 112
  • Rabu, 27 Sep 2023

Insiden yang tersebut membabitkan sebuah restoran makanan segera di Taman Buaya, Melaka pada 22 September lalu.

POLIS Melaka sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan lanjut, berhubung perselisihan faham berkaitan pembelian sos cili di sebuah restoran makanan segera di Taman Buaya, Melaka, pada 22 September lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, rakaman percakapan lelaki berusia 45 tahun yang merupakan seorang peniaga terbabit diperlukan memandangkan terdapat beberapa versi berhubung kejadian itu daripada kedua-dua pihak.

"Kita telah menerima laporan polis yang dibuat pekerja wanita restoran makanan segera berkenaan di Balai Polis Ayer Keroh pada pukul 7.16 malam semalam (Selasa), kerana berasa terancam dan risau akan keselamatan dirinya selepas pelanggan lelaki berkenaan merakam insiden itu.

"Rakaman percakapan wanita tersebut juga telah diambil semalam (Selasa), selepas dia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, versi kejadian yang dilaporkan lelaki berkenaan ialah dia diminta membayar sos cili tambahan yang diminta, walaupun telah membeli makanan di restoran tersebut.

"Versi kedua iaitu dari pihak pekerja wanita berkenaan pula ialah, dia dipaksa lelaki tersebut untuk menjual 10 peket sos cili, walaupun telah diterangkan bahawa tiada pembelian sos cili dibenarkan, kerana ia diberikan secara percuma oleh pihak restoran makanan segera itu," ujarnya.

Menurut Christopher, wanita itu juga didakwa dimarahi dan ditengking lelaki terbabit dalam kejadian yang berlaku antara pukul 10 hingga 11 malam, 22 September lepas.

Beliau berkata, tiada kecederaan atau kerugian dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana ugutan jenayah.

Dalam pada itu, Christopher berkata, menerusi semakan 'Integrated Police Reporting System' (IPRS) dilakukan mendapati terdapat satu laporan polis dibuat berhubung kes itu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Katanya, ia berkaitan dengan tindakan kompaun yang diambil ke atas premis berkenaan kerana kesalahan tidak mempamerkan tanda harga.

Pada Selasa, syarikat pengendali restoran makanan segera terbabit menerusi satu kenyataan memaklumkan, insiden yang turut tular di sosial media itu berlaku selepas kakitangannya memberikan sos cili paket tidak mencukupi bersama hidangan makanan dibeli pelanggan.

Situasi itu jelasnya menyebabkan pelanggan berkenaan berang sehingga terjadinya insiden caj RM1 bagi satu peket sos cili. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram