KEMALANGAN berpunca daripada kesalahan pemandu dalam kalangan warga emas bukanlah perkara baharu.
Seiring peningkatan usia pastinya tahap kesihatan seseorang akan menurun, sekali gus boleh menjejaskan kemampuan dan kecekapan memandu bagi individu.
Perkara ini perlu diambil perhatian serius oleh pihak berwajib, apatah lagi ia turut melibatkan nyawa manusia.
Satu peraturan baharu melibatkan kelulusan memperbaharui ujian memandu terhadap pemandu warga emas perlu diteliti dan diperhalusi secara lebih mendalam untuk mengelakkan lebih banyak insiden meragut nyawa berlaku terutamanya di negara ini.
Namun mungkin ramai yang tidak tahu, desakan itu sebenarnya pernah diutarakan oleh beberapa pihak sejak dua tahun lalu.
Ia susulan satu kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman pada tahun 2021.
Hasil kajian mendapati peningkatan umur ketika memandu merupakan antara penyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, situasi itu berlaku disebabkan masalah kesihatan dihadapi pemandu yang lebih berusia.
Golongan berkenaan terdedah kepada penyakit seperti Alzheimer, masalah mata dan lain-lain.
Sehubungan itu, kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan faktor umur pengguna jalan raya terutama mereka yang berusia menyumbang kepada kadar kemalangan di negara ini.
Kerajaan digesa untuk memperkenalkan sistem penilaian baharu bagi menilai semula kemampuan warga emas, sebelum mereka dibenarkan memperbaharui lesen memandu.
Pihak bertanggungjawab dicadangkan untuk menetapkan pemandu berumur 65 tahun ke atas perlu menjalani ujian memandu terlebih dahulu sebelum memperbaharui lesen mereka.
Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan tiga kemalangan yang melibatkan kecuaian warga emas :
1) Abang luah rasa terkilan, adik maut kemalangan ekoran kecuaian warga emas di Pulau Pinang
Mangsa maut kemalangan ekoran kecuaian warga emas di Pulau Pinang pada 20 September lalu.
Kemalangan terbaharu membabitkan pemandu warga emas berumur 76 tahun dengan seorang gadis bernama Nurren Aleesya di sekitar jalan menghala ke Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 20 September lalu.
Difahamkan, kemalangan tersebut berpunca daripada kelalaian dan kecuaian warga emas tersebut sehingga meragut nyawa gadis berkenaan.
Tragedi duka itu turut dikongsikan abang mangsa yang agak terkilan dengan peristiwa malang yang menimpa adiknya itu.
Dalam masa sama, dia turut mempersoalkan kerelevanan pemandu yang sudah lanjut usia tetapi masih sahaja dibenarkan untuk memandu di atas jalan raya.
Meskipun bersedih atas kehilangan adik kesayangannya, dia tetap reda dan berharap agar hukuman yang setimpal akan dikenakan terhadap pemandu yang cuai.
2) Penunggang motosikal membelok ke kanan secara tiba-tiba punca pelajar maut di Perak
Penunggang motosikal membelok ke kanan secara tiba-tiba punca pelajar maut di Perak.
Seorang pelajar lelaki tingkatan lima dan seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung di KM19, Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja, Parit, Perak pada 1 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam ketika pelajar berusia 17 tahun berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari arah Bota Kiri ke Tanjung Belanja selepas mengunjungi surau berhampiran.
Warga emas berusia 64 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Honda Dash pula sedang menuju ke arah Bota Kiri dari Tanjung Belanja untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tua.
Warga emas berkenaan yang merupakan pekebun dipercayai secara tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan pelajar yang bergerak lurus tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal warga emas itu.
Mohd Yusri berkata, kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
3) Rempuh penunggang motosikal, pemandu warga emas beri alasan takut dilanggar di Ipoh
Rempuh penunggang motosikal, pemandu warga emas beri alasan takut dilanggar di Ipoh.
Wanita warga emas berusia 73 tahun memberi alasan takut dilanggar dari belakang jika berhenti menyebabkan dia 'memecut' ketika lampu kuning sehingga menyebabkan kenderaannya bergesel dengan sebuah motosikal pada 13 Jun lalu.
Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Musa Mahadi, dekat Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak, wanita itu turut mendakwa bahawa lampu isyarat ketika itu masih kuning dan belum merah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pukul 1.52 keesokan harinya membabitkan Perodua Viva yang dipandu wanita berkenaan dengan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang seorang lelaki berumur 48 tahun.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 8.16 memaparkan Perodua Viva dari arah Kampung Simee bergesel dengan motosikal yang ingin membelok ke kanan memasuki Jalan Rasa Musa Mahadi dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan itu penunggang motosikal berkenaan patah tangan, luka di dagu serta ibu jari kiri manakala pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan ringan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun tiada tangkapan buat masa ini," katanya.
Berdasarkan video tular berdurasi 29 saat berkenaan, kesemua kenderaan yang berada di laluan hala sama dengan Perodua Viva itu sudah berhenti di persimpangan terbabit namun kereta itu kelihatan ingin memecut sebelum pergeseran dengan motosikal itu berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram