[VIDEO] Remaja lemas dalam parit baru digali di Batu Pahat


  • 112
  • Ahad, 10 Sep 2023

Bomba melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa lemas dalam parit di sebuah ladang sawit berdekatan Kampung Rahmat di Batu Pahat. — Facebook

SIAPA sangka hari minggu yang dimanfaatkan lima sahabat dengan aktiviti bermandi-manda dalam parit di sebuah ladang sawit berdekatan Kampung Rahmat di Batu Pahat, Johor, bertukar tragedi.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, salah seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam parit berkenaan.

Difahamkan, parit itu baru digali seminggu lalu untuk pengairan di ladang sawit terbabit.

Sebelum kejadian mangsa berusia 17 tahun berasal dari Taman Banang Jaya, dipercayai terjun terlebih dahulu bersama seorang lagi rakan sebelum lemas.

Jurucakap Balai Bomba Penggaram berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan penduduk kampung terbabit.

Operasi mencari dan menyelamat bermula dan mayat ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 7.21 malam.

Sebelum itu, anggota bomba terpaksa menaiki motosikal penduduk berikutan kesukaran membawa masuk jentera memandangkan laluan ke ladang itu hanya untuk kenderaan ringan.

Malah sebelum itu, penduduk kampung cuba membantu mencari dengan menggunakan jala namun gagal.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram