[VIDEO] Pelancong Singapura maut van jatuh gaung sedalam 6 meter di Balik Pulau, punca insiden masih dalam siasatan


  • 112
  • Isnin, 25 Sep 2023

Keadaan van terbabit (kiri) yang terjatuh ke dalam gaung berkedalaman enam meter ketika insiden pada malam Ahad. — Facebook/SimTzeTzin

SEORANG wanita warga Singapura maut manakala 10 lagi cedera dalam insiden van pelancong terbabas sebelum terjatuh ke cerun berkedalaman lebih enam meter di Bukit Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang pada malam Ahad.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau N Prenavaran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 8.20 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Sejurus tiba, didapati tempat kejadian merupakan kawasan berbukit dan jentera bomba tidak dapat masuk... anggota bomba terpaksa mendaki bukit selama 15 minit dengan membawa usungan dan peralatan kecemasan.

"Didapati seorang wanita telah meninggal dunia, tujuh lagi masih tersepit dalam kenderaan manakala tiga telah dinaikkan ke tempat selamat dengan bantuan orang awam," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong papan pemuka dan stereng van itu untuk menyelamat wanita yang tersepit di sebelah tempat pemandu.

"Operasi selesai pada kira-kira pukul 10.45 malam selepas mangsa terakhir dikeluarkan dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Kamarul Rizal Jenal pula berkata, terdapat 11 mangsa iaitu lapan wanita dan tiga lelaki dengan 10 daripada mereka adalah pelancong warga Singapura manakala pemandu van ialah lelaki tempatan.

Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti namun mereka dipercayai terdiri daripada sekumpulan warga emas yang sedang bercuti di Pulau Pinang.

"Seorang wanita warga Singapura ditemukan mati di tempat kejadian manakala 10 mangsa lagi yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau untuk menerima rawatan,” katanya.

Kamarul Rizal juga berkata, punca insiden itu masih dalam siasatan dan proses bedah siasat mangsa terkorban akan dilakukan pada Isnin. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram