Sanusi sahkan ditanya 4 soalan oleh SPRM berhubung isu REE


  • Primer
  • Isnin, 25 Sep 2023

Sanusi berkata, beliau memberikan keterangan itu pada minggu lepas dan terdapat empat soalan ditanyakan kepadanya ketika itu.

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Isnin mengesahkan yang beliau memberikan keterangan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Tanpa menyatakan lokasi keterangan itu diberikan, Muhammad Sanusi berkata, beliau memberikan keterangan itu pada minggu lepas dan terdapat empat soalan ditanyakan kepadanya ketika itu.

"...saya bertemu dengan pegawai SPRM dan berikan kenyataan saya.. sekitar empat soalan. Itu saja,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, Kedah pada Isnin.

Pada Julai lepas, media melaporkan yang 10 Exco kerajaan negeri Kedah dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes REE itu.

Selain itu, pada 19 Julai lalu, media turut melaporkan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 20 Julai dilaporkan sebagai berkata SPRM merakamkan kenyataan 12 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram