Muhyiddin mungkin hilang peranan pemimpin tertinggi dalam PN


  • Politik
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Menurut Salleh, Muhyiddin semakin hilang peranan tertinggi dalam PN.

DATUK Dr Salleh Said Keruak berpendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan hilang peranannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu Timbalan Pengerusi gabungan itu mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohammad.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, tindakan yang memeranjatkan banyak pihak itu mungkin boleh difahami kerana Ahli Parlimen Marang itu mungkin ingin mengekalkan momentum ‘gelombang hijau’ yang kini semakin meningkat.

Beliau turut berkata, pengalaman luas Dr Mahathir yang pernah memimpin negara sebanyak dua kali sebagai Perdana Menteri dapat memberi manfaat kepada Abdul Hadi.

“Kita tidak boleh menyalahkan Abdul Hadi dalam memilih Tun Mahathir kerana rekod politik Tun Mahathir jauh lebih mengagumkan.

“Abdul Hadi berazam untuk mengekalkan apa yang PAS peroleh semasa pilihan raya negeri dan pilihan raya umum baru-baru ini,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Pada 4 September lalu, seramai empat Menteri Besar daripada PN mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di kediaman beliau.

Mereka ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ditemani Abdul Hadi dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Salleh berkata, terdapat kemungkinan bahawa Muhyiddin mungkin akan meneroka dan mempertimbangkan pilihan-pilihan politik yang lain ekoran tindakan Abdul Hadi itu.

“Saya rasa Muhyiddin, seperti Dr Mahathir, berpendapat tiada musuh yang kekal dalam politik.

“Beliau masih Presiden Bersatu. Beliau harus bergantung pada dirinya sendiri untuk menjaga kepentingan dan cita-cita politiknya,” tambahnya. — The Star/JUNAID IBRAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram