HASRAT seorang lelaki untuk menikmati juadah istimewa bersama-sama keluarga tidak kesampaian apabila mendapati makanan yang dipesannya rosak dan dipenuhi dengan ulat.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, kejadian tersebut difahamkan berlaku di sebuah restoran dekat Seremban, Negeri Sembilan pada 20 September lalu sekitar pukul 2.30 petang lalu.
Berdasarkan rakaman berdurasi 44 saat itu, kelihatan beberapa ulat berkeliaran di sebalik hidangan ayamnya.
Tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, lelaki berkenaan nekad kembali semula ke restoran tersebut untuk memaklumkan tentang situasi sebenar, selain mahu meminta ganti rugi.
Bagaimanapun pihak restoran dikatakan enggan bertanggungjawab, malah pekerja di situ juga dipercayai bertindak ingin memukulnya.
Susulan kejadian itu, dia nekad membuat laporan di balai polis berhampiran atas faktor keselamatan diri dan keluarganya.
"Saya telah membuat pesanan untuk dibawa balik dan makan bersama keluarga. Saya pesan kambing, sambal, sayur-sayuran dan ayam rendang, jumlah semua lebih RM200.
"Semasa saya sampai di rumah emak, kami mendapati kambing yang dijual kepada saya telah rosak dan ayam sambal yang saya dapat juga berulat.
"Saya pergi semula ke restoran tersebut untuk memberitahu perkara itu, tetapi pihak restoran tidak mahu bertanggungjawab, malah mereka ingin memukul saya.
"Saya beredar dari restoran tersebut dan terus datang ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan gara-gara tidak berpuas hati dengan mereka," demikian katanya dalam laporan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram