'Caj tambahan urus jenazah cecah RM800,' SPRM Selangor tak tolak kemungkinan 'ulat jenazah' masih aktif 


  • 112
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Kadar caj tambahan haram dikenakan terhadap waris untuk pengurusan mayat bayi bermula dari RM250 hingga mencecah RM800. — Gambar hiasan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor tidak menolak kemungkinan masih wujudnya kegiatan 'ulat jenazah' yang mengambil keuntungan secara rasuah dalam pengurusan jenazah di hospital sekitar Lembah Klang.

Malah, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata, modus operandi dijalankan kumpulan terbabit juga semakin licik selepas mereka mengetahui perbuatan itu mula disedari pihak berkuasa.

Pada tahun lalu, SPRM di negeri itu menahan dan mendakwa sekurang-kurangnya lima suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan 'ulat jenazah' sekitar 2018 hingga 2022 membabitkan jumlah suapan kira-kira RM15,000.

Susulan daripada itu, tiga daripadanya yang juga pembantu kesihatan di Hospital Kajang, Selangor dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda antara RM3,000 hingga RM5,000 selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

"Jadi oleh kerana kematian ini satu perkara yang sentiasa berlaku, kemungkinan perkara ini masih berlaku di hospital lain di Malaysia atau di Lembah Klang itu ada.

"...kemudian disebabkan ada pertuduhan yang sudah dibuat, mereka juga semakin licik dan berhati-hati ketika menjalankan kegiatan ini," ujar Alias kepada Majoriti.

file7rjtvdlkve0kr80tewz

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan siasatan dijalankan dalam dua kes terdahulu, kegiatan itu melibatkan kakitangan hospital dan persatuan atau pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberikan tanggungjawab oleh jabatan agama untuk menjalankan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Katanya, kadar caj tambahan haram yang dikenakan terhadap waris untuk pengurusan mayat bayi adalah sebanyak RM250, kematian biasa (RM650), kematian penyakit berjangkit (RM750) dan kematian akibat Covid-19 (RM800).

"Jadi apa yang berlaku dalam kes ini adalah apabila kakitangan hospital ini akan berurusan dengan NGO dan cakap, kalau mereka mahu kerja ini, separuh daripada bayaran (caj tambahan) diberikan waris bagi pada dia (kakitangan hospital) dan separuh lagi dapat kepada NGO," ujarnya.

Katanya, caj tambahan tersebut tidak sepatutnya dikenakan terhadap waris kerana perbelanjaan itu sememangnya ditanggung oleh jabatan agama Islam negeri melalui NGO yang berdaftar dan diberikan tanggungjawab untuk menjalankan khidmat pengurusan terbabit di hospital.

1600726

Antara suspek 'ulat jenazah' yang ditahan SPRM pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat NGO yang terpaksa bersubahat kerana terdesak dan memerlukan kerja-kerja pengurusan jenazah tersebut untuk terus beroperasi.

"Sebab kalau tidak bagi (duit rasuah) pada dia (kakitangan hospital), dia akan bagi pada NGO lain. Jadi inilah yang berlaku apabila ada beberapa pegawai tidak berintegriti mengambil peluang untuk dapatkan habuan," jelasnya.

Alias berkata, kakitangan atau pegawai hospital yang terlibat itu juga bertanggungjawab dalam memberikan nombor telefon NGO berkenaan kepada waris yang memerlukan khidmat pengurusan jenazah.

"Waris akan cari contact dan pegawai pula akan rekomen NGO yang ada untuk uruskan proses memandikan sehingga solat jenazah sahaja. Untuk ke kubur dan kebumi, pihak lain yang akan uruskan dan tidak lagi berkaitan dengan pihak hospital," ujarnya.

Dalam pada itu, Alias berkata, beliau menganggarkan bahawa jumlah suapan diterima dalam kes terbabit berkemungkinan lebih tinggi daripada direkodkan dalam pertuduhan.

Katanya, ini dengan mengambil kira tempoh masa kegiatan tersebut dilakukan dan kekangan untuk menjejaki pemindahan bayaran yang dilakukan dan sebagainya.

"Yang dalam pertuduhan ini melibatkan pembayaran yang kita dapat siasat sebab ada bukti masuk akaun dan sebagainya.

"Saya yakin (jumlah suapan yang terlibat) lebih daripada jumlah yang kita buat dalam pertuduhan seperti ini...," ujarnya merujuk kepada dua kes pertuduhan dilakukan oleh SPRM pada tahun lalu membabitkan kes terbabit.

file7rjtve0qg4y1awipyewy

Alias menyeru mana-mana pihak termasuk waris serta NGO terlibat supaya membuat aduan kepada SPRM sekiranya mendapati kegiatan tersebut masih berlaku di mana-mana hospital.

Sehubungan itu, Alias berkata, beliau menyeru kepada mana-mana pihak termasuk waris serta NGO terlibat supaya membuat aduan kepada SPRM sekiranya mendapati kegiatan tersebut masih berlaku di mana-mana hospital.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kakitangan di pusat kesihatan agar sentiasa bekerja dengan penuh integriti dan tidak mengambil kesempatan terhadap waris mangsa yang memerlukan perkhidmatan pengurusan jenazah.

"Sebagai penjawat awam yang telah diberi gaji dan sebagainya, mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan di atas kesedihan waris untuk mengambil habuan daripada perbuatan rasuah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram