[VIDEO] Baru tiga suap, pelanggan putus selera jumpa ayam goreng berulat di Melaka


  • Tular
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Tangkap layar hidangan mi segera ayam goreng yang dipenuhi dengan ulat di sebuah restoran di Melaka.

HAJAT seorang pelanggan untuk menikmati sajian mi segera yang dihidangkan bersama ayam goreng terbantut apabila mendapati ayam tersebut dipenuhi dengan ulat.

Menerusi video yang dikongsikan di laman TikTok @bluebirdsky, kejadian tersebut difahamkan berlaku di sebuah restoran mamak dekat Melaka, sekitar pukul 8 pagi pada Isnin lalu.

Berdasarkan rakaman berdurasi satu minit itu, kelihatan beberapa ulat berkeliaran di sebalik ayam goreng di atas pinggan wanita berkenaan.

"Baru sahaja makan tiga suap, aku nampak ulat-ulat ini. Apa mamak tu buat? Dia hanya masak baharu, dia ingat aku ada selera nak makan?

"Ini bukan kali pertama aku kena, dah beberapa kali budak pejabat aku kena. Mamak ni sempoi sampai sekarang jual makanan, orang ramai makan dekat kedai ni," katanya menerusi video tersebut.

Tidak berpuas hati dengan situasi itu, dia segera membuat aduan di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).

Namun cubaannya hampa apabila dimaklumkan talian sambungan ke Unit Pemakanan telah lama rosak.

Katanya, pegawai yang berurusan kemudian memaklumkan mereka akan menghubunginya semula untuk tindakan lanjut, bagaimanapun difahamkan sehingga Sabtu malam, dia masih belum menerima respons daripada mana-mana pihak berhubung laporan tersebut.

"Aku tak tahu kenapa JKNM tak mahu tolong aku dan menitikberatkan perkara begini," luahnya.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Melaka, Ngwe Hee Sem dilaporkan berkata, pihaknya telah pun meminta JKNM untuk menyiasat dakwaan tersebut yang dianggap serius dan melanggar Akta Peraturan-Peraturan Kesihatan Malaysia (PPKM) 2009.

“Saya telah meminta JKNM untuk ambil tindakan segera berhubung kejadian tersebut dan sebarang maklum balas akan dikongsikan kemudian," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram