[VIDEO] Tindakan pemandu teksi otak udang parkir, patahkan 'wiper' kereta OKU undang kecaman


  • Tular
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Tindakan seorang pemandu teksi yang bertindak kurang ajar dengan meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan OKU tanpa rasa bersalah baru-baru ini mengundang kecaman warga maya.

JIKA ingin menjadi warga negara yang baik, rasanya ramai yang boleh bersetuju bahawa antara perkara yang perlu rakyat lakukan ialah menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap hal-hal berkaitan orang kelainan upaya (OKU).

Namun, antara isu yang kerap dipandang mudah ialah salah guna kemudahan tempat letak kenderaan khas untuk OKU yang ada disediakan di kebanyakan tempat dan premis seperti pusat beli-belah serta parkir awam.

Terbaharu, tindakan seorang pemandu teksi yang bertindak kurang ajar dengan meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan OKU tanpa rasa bersalah baru-baru ini mengundang kecaman warga maya.

Lebih menggeramkan lagi, melalui video tular yang dimuat naik di laman X (Twitter) pada Jumaat itu turut memaparkan lelaki berkenaan mematahkan wiper (pengelap cermin) kenderaan jenis Perodua Kancil yang berada di belakang keretanya.

Difahamkan, kereta Kancil tersebut merupakan milik seorang pemandu OKU berdasarkan pelekat OKU di cermin kereta tersebut.

Mungkin kerana terlalu geram dengan tindakan pemandu teksi yang seolah-olah tidak menghormati hak OKU, pemandu tersebut telah meletakkan kenderaannya di belakang teksi tersebut sekali gus menyebabkan pemandu pengangkutan awam itu marah.

Selepas mengeluarkan teksinya daripada kawasan parkir berkenaan, dia dilihat terus keluar daripada kenderaannya dan mematahkan pengelap cermin Kancil tersebut tanpa menyedari tindakannya itu dirakam oleh orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram