BEBERAPA anggota tentera udara yang sedang menjalani latihan penerjunan di ruang udara baru-baru ini terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan sawah padi ekoran daripada angin kencang.
Video tersebut turut tular di media sosial dan dimuat naik di aplikasi TikTok pada Khamis. Hasil pemerhatian Majoriti, melalui dialek yang digunakan, insiden itu dipercayai berlaku di sebuah lokasi di Utara Semenanjung.
Namun begitu, tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Berdasarkan klip video berdurasi seminit lebih itu, perakam video berkenaan mendakwa anggota berkenaan tersasar daripada kawasan pendaratan yang sepatutnya akibat daripada angin kuat yang melanda kawasan tersebut.
Turut kedengaran suara si perakam meminta orang kampung yang berada di lokasi sama memberi laluan kepada anggota tersebut melakukan pendaratan.
"Ke tepi, ke tepi, beri laluan," katanya.
Difahamkan, anggota tentera tersebut berjaya melakukan pendaratan dengan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan, seramai 10 orang anggota terlibat dalam sesi latihan penerjunan di ruang udara tersebut.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram