Tragedi beraya, penumpang cedera parah kereta terbabas rempuh tiang elektrik di Pasir Mas


  • Tular
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Situasi kemalangan melibatkan kereta terbabas di Kampung Banggol Stol, berhampiran Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas pada Khamis. — Telegram/Info Semasa Offical

KESERONOKAN beraya bertukar tragedi buat sekumpulan rakan apabila kereta yang dinaiki mereka dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik dalam satu kejadian kemalangan ngeri pada Khamis.

Kejadian pada hari pertama Hari Raya Aidiladha itu difahamkan berlaku di Kampung Banggol Stol, berhampiran Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas, Kelantan.

Berdasarkan perkongsian beberapa foto di laman Telegram Info Semasa Offical pada Jumaat, kemalangan itu telah menyebabkan beberapa penumpang mengalami kecederaan parah.

Kemalangan pada hari pertama Aidiladha itu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah. — Telegram/Info Semasa Offical

Kenderaan model Honda Jazz yang dinaiki mangsa dilihat mengalami kerosakan yang agak teruk di bahagian hadapan penumpang dipercayai merempuh tiang elektrik hingga menyebabkan tiang itu menjadi condong.

Turut kelihatan di lokasi kejadian beberapa orang lelaki berpakaian baju Melayu dipercayai rakan kepada mangsa mengerumuni kereta berkenaan.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram