Anak maut, ibu tercampak CRV rempuh tiang elektrik lalu berpusing berkali-kali di Gua Musang


  • 112
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Mangsa yang juga pemandu Honda CRV, Normardiah Taha dan ibunya, Fatimah Sa'aid maut di tempat kejadian. — Facebook/OrangAwam

DUA beranak meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 73 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.09 tengah malam itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V mereka terbabas ke dalam parit dan melanggar tiang elektrik sebelum berpusing beberapa kali.

Mangsa, yang juga pemandu kenderaan tersebut, Normardiah Taha, 45, dan ibunya, Fatimah Sa'aid, 67, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Ipoh, Perak menuju ke Kuala Terengganu.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan semasa mengambil selekoh dan terbabas ke dalam parit sebelah kiri jalan serta melanggar sebatang tiang elektrik.

"Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali menyebabkan ibu mangsa tercampak keluar dari kenderaan. Dua beranak itu disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram