[VIDEO] Budak nyaris dilanggar kereta depan sekolah di Alor Gajah


  • Tular
  • Khamis, 21 Sep 2023

Tangkap layar video insiden tersebut memaparkan kanak-kanak tersebut melintas jalan secara sendirian selepas turun dari kereta yang diletakkan di seberang jalan dekat hadapan sebuah sekolah.

SEORANG kanak-kanak nyaris dilanggar sebuah kereta selepas bertindak turun sendiri daripada kereta dinaiki untuk melintas dari seberang jalan dekat hadapan sebuah sekolah dekat Alor Gajah, Melaka, pada Rabu.

Menerusi video tular berdurasi tiga minit itu, insiden tersebut berlaku pada awal pagi sekitar pukul 6.52 pagi ketika waktu masuk sekolah.

Berdasarkan klip tersebut, wanita dipercayai ibu kepada budak tersebut difahamkan sedang menghantar murid ke hadapan sekolah yang terletak di seberang jalan dan meninggalkan kanak-kanak tersebut di dalam kereta.

Dalam video terbabit, kanak-kanak itu dilihat sudah turun dari kereta secara sendirian dan terus melintas jalan yang ketika itu sedang sibuk dilalui oleh beberapa kereta di kedua-dua arah dengan keadaan cuaca juga masih agak gelap.

Budak itu dilihat agak bernasib baik kerana kereta yang sedang melalui jalan tersebut sempat berhenti secara mengejut untuk mengelak daripada melanggarnya.

Kereta di laluan bertentangan juga didapati menghentikan kenderaan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga sebaik menyedari kelibat budak itu.

Seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak itu kemudiannya dilihat segera mengambil kanak-kanak itu yang ketika itu berada betul-betul di tengah-tengah jalan dan membawanya masuk ke dalam kereta.

Susulan daripada itu, beberapa individu termasuk seorang lelaki dipercayai guru di sekolah terbabit dilihat tampil segera mengawal lalu lintas.

Pada masa sama, di akhir video tersebut, seorang lelaki juga didengar meberi teguran kepada wanita tersebut.

"Saya dah cakap parking belah sana (laluan di hadapan sekolah) kalau bawa budak," ujar lelaki berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram