Penunggang motor rempuh anggota JPJ didenda RM5,000


Tangkap layar video seorang anggota JPJ dirempuh seorang penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad.

MAHKAMAH Majistret Port Dickson, Negeri Sembilan pada Khamis menjatuhkan hukuman denda RM5,000 kepada penunggang motosikal tular merempuh pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu dijatuhkan Majistret Uthman Abd Ghani selepas selepas tertuduh, Nor Khairul Azwa Azizi, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Menerusi pertuduhan tersebut, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguatkuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, dari menjalankan fungsi amnya.

Kesalahan terbabit dilakukan pada 17 September 2023, jam lebih kurang pukul 11 pagi di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Susulan daripada itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Nor Khairul yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang mengandung selain telah diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.

Majoriti sebelum ini melaporkan insiden tular menyaksikan seorang anggota JPJ cedera selepas dilanggar seorang penunggang motosikal yang merempuh SJR di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.

Ekoran daripada kejadian itu, JPJ dalam kenyataannya berkata, insiden tersebut menyebakan anggota terbabit mengalami cedera pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki, namun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

Dalam pada itu, siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan turut mendapati suspek mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Antara kesalahan dilakukan ialah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan turut disenarai hitam atas kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram