Elak kesalahan berulang dan berisiko tinggi, JPJ sita 3,111 motosikal di seluruh negara sejak 1 September


  • 112
  • Khamis, 14 Sep 2023

Operasi Khas Motosikal yang dijalankan oleh JPJ bermula 1 September hingga Rabu di seluruh negara. — Foto Bernama

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesan dan menyita sebanyak 3,111 motosikal di seluruh negara sepanjang Operasi Khas Motosikal bermula 1 September hingga Rabu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, kesemua kenderaan disita itu diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.

"Tindakan ini juga bagi melengkapkan prosedur siasatan pelbagai kes kesalahan semasa dan rekod lampau pengendali motosikal seperti tiada insurans, tiada lesen memandu, ubah suai piawai keselamatan dan sebagainya.

"JPJ tidak merampas motosikal tetapi menyita bagi tujuan menghentikan kesalahan berulang dan berisiko tinggi bagi mengelakkan perkara tidak diingini iaitu menjurus kepada kecederaan parah atau kemalangan maut," katanya di Malim, Melaka pada Rabu.

Terdahulu, beliau hadir pada Operasi Khas Motosikal yang turut disertai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa (Seksyen Dasar) JPJ Dr Azmi Awang dan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa (Seksyen Operasi) JPJ Mohd Azmi Jaafar.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, motosikal yang disita itu juga boleh dituntut pada bila-bila masa selepas dokumentasi dan kes kesalahan diselesaikan termasuk mempunyai perlindungan insurans sewajarnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan dalam operasi bagi tempoh hingga 30 September itu juga menggunakan pendekatan berkonsepkan pengauditan pematuhan selain mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang supaya sentiasa mengikut peraturan keselamatan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Sehingga kini juga, JPJ telah memeriksa sebanyak 140,544 motosikal dan hasil pemeriksaan audit pematuhan dalam tempoh operasi mulai 1 hingga 13 September, sejumlah 64,295 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 46 peratus kesalahan dikesan iaitu membabitkan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang dilakukan oleh pengendali motosikal," katanya.

Lokman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 24,459 kes melibatkan tiada perlindungan insurans, tiada atau tamat lesen memandu (19,928 kes), tidak mematuhi lampu isyarat merah (4,061 kes), ubah suai ekstrem (2,676 kes) dan membonceng motosikal di bawah umur sebanyak 259 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata JPJ juga merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membendung penjualan alat ganti kenderaan khususnya melibatkan modifikasi motosikal yang menyalahi undang-undang.

Katanya lagi, setiap motor atau kenderaan yang dipasarkan dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya di negara ini wajib melalui prosedur pemeriksaan oleh Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi mengesahkan spesifikasi yang memenuhi standard antarabangsa.

"JPJ hanya berkuasa bagi penguatkuasaan undang-undang di atas jalan raya, namun penjualan alat ganti yang tidak disahkan oleh JPJ sebagaimana diluluskan dalam VTA itu adalah di bawah tanggungjawab PBT.

"Jadi, lesen premis mereka mestilah mengikut peraturan ditetapkan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram