AGENDA memulihkan Perlembagaan Persekutuan dengan kerangka sekular yang diperjuangkan DAP tidak akan menafikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub di bawah perlembagaan negara.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan berkata, kontroversi ditimbulkan baru-baru ini terhadap perkara tersebut berlaku kerana wujudnya stigma negatif dalam kalangan masyarakat terhadap apa yang dimaksudkan sebagai sekular.
"Sekular ini, di Malaysia dah jadi satu stigma. Tapi kalau kita tanya apa maksud sekular itu, ia memang bawa makna yang berbeza-beza antara satu negara dengan negara lain.
"Contohnya definisi sekular dekat Perancis dengan Amerika Syarikat (AS) pun lain. Dekat AS, walaupun dia kata Perlembagaan dia sekular, tapi pada masa sama ada juga tertulis di dalamnya 'in God we trust'.
"Tetapi kalau dekat Perancis, memang pemisahan antara negara dan gereja (agama) itu jelas. Maknanya tidak ada langsung toleransi terhadap apa yang kita panggil ekspresi keagamaan di tempat awam contohnya," katanya ketika ditemui Majoriti.
Dengan kepelbagaian makna dan konotasi dibawa istilah berkenaan, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata, ia menyebabkan perbincangan mengenai sama ada Malaysia sebagai sebuah negara sekular menjadi satu polemik berpanjangan.
Sehubungan itu, bagi menjawab kegusaran mengenai isu tersebut terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu, beliau menjelaskan, maksud kerangka sekular diperjuangkan partinya adalah untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di dalam negara.
"Maknanya apa-apa tindakan kerajaan harus selari dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini berlainan mungkin dengan negara lain yang meletakkan al-Quran dan sunah sebagai undang-undang tertinggi.
"Maknanya kalau ada pun undang-undang yang dibuat harus selari dengan al-Quran dan sunah. Jadi kita ada negara macam itu, tapi bukan di Malaysia. Di Malaysia undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan," ujarnya yang juga seorang pengamal perundangan.
Sehubungan itu, Syahredzan menambah, usaha untuk memulihkan kerangka sekular dalam Perlembagaan Persekutuan itu langsung tidak membawa maksud untuk menafikan mana-mana asas Perlembagaan Persekutuan termasuk peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam negara.
"Apabila kita kata kerangka sekular, itu maknanya apa-apa undang-undang sekalipun termasuk yang libatkan Islam atau undang-undang syariah dan sebagainya, perlu melalui satu proses sekular.
"Apa dia proses sekular itu, maknanya kita perlu bentangkan di Parlimen, diluluskan oleh majoriti ahli Parlimen tak kira ahli Parlimen itu beragama Islam atau bukan Islam.
"Sama juga dekat negeri-negeri. Kalau ada satu enakmen nak diluluskan yang berkenaan dengan undang-undang syariah, ia juga perlu melalui proses sekular yang sama," katanya.
Syahredzan ketika ditemu bual Majoriti.
Syahredzan berkata, sebagai sebuah parti, DAP tidak pernah mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang sudah termaktub sejak merdeka.
"Kita tidak menafikan Islam sebagai agama Persekutuan. Memang daripada awal tertubuhnya Malaysia pun, sebelum itu Perlembagaan Malaya dan sebagainya, memang Islam sebagai agama Persekutuan dah termaktub.
"Jadi tidak adalah kata kita nak buang ke apa. Bila kita kata restore (pulihkan), maknanya kita nak menjunjung kerangka sekular sedia ada yang mana undang-undang itu semua kena harus konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Dan ia termasuk juga memelihara hak dan kebebasan asasi rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.
Fasal II Perlembagaan DAP menetapkan matlamat antara lain untuk mengesahkan dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak sama kepada setiap rakyat Malaysia.
Pada Ogos lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyarankan DAP supaya menggugurkan antara lain agenda negara sekular yang terdapat dalam Perlembagaan Parti tersebut.
Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan bagi membolehkan DAP yang kini turut bekerjasama bersama Umno di bawah kerajaan Perpaduan dilihat lebih sederhana dan seterusnya mendapat sokongan orang Melayu.
Pada masa sama, Nur Jazlan turut menyarankan agar parti tersebut menggugurkan slogan Malaysian Malaysia yang turut terkandung dalam perlembagaan DAP.
Mengulas mengenai isu tersebut, Syahredzan berkata, perkara tersebut sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan salah faham terhadap perjuangan dibawa oleh DAP.
Katanya, ini kerana, slogan tersebut langsung tidak membawa sebarang maksud untuk menafikan hak mana-mana keturunan atau etnik tetapi sebaliknya bertujuan bagi mewujudkan satu identiti kebangsaan masyarakat Malaysia.
Jelasnya, ia juga tidak jauh berbeza dengan konsep kebangsaan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini antaranya 1Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak dan Bangsa Malaysia (Tun Dr Mahathir Mohamad).
"Jadi Malaysian Malaysia atau Malaysia untuk rakyat Malaysia ini adalah satu perjuangan untuk mewujudkan satu identiti kebangsaan, bukan menafikan keturunan atau etnik tertentu.
"...dan saya lontarkan juga kepada semua yang suka mempertikaikan tentang Malaysian Malaysia, kalau Malaysia itu bukan untuk rakyat Malaysia, untuk siapa lagi," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram