WAKIL tunggal Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Amira Aisya Abd Aziz tidak lagi akan bersama blok Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pembangkang Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.
Menurutnya, langkah itu diambil susulan daripada keputusan Muda yang memutuskan untuk menarik balik sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan.
"Kami amat kecewa dengan sikap Muda yang sentiasa mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan Kerajaan Perpaduan sejak kebelakangan ini,
“Muda juga telah meletakkan calonnya untuk menentang PH dan calon Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya di negeri enam 12 Ogos lalu,” katanya pada Isnin.
Kah Eng berkata, lebih mengecewakan, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memberikan label yang sangat keras iaitu 'lapdog' terhadap DAP.
“Dengan Muda memutuskan untuk berundur daripada kerajaan perpaduan dan tidak mesra dengan kerajaan perpaduan, maka secara automatik Adun parti itu tidak lagi berada dalam blok Pakatan di DUN Johor,” katanya.
Muda membuat penampilan sulung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac tahun lepas apabila mereka bertanding tujuh kerusi dan memenangi satu daripadanya di DUN Puteri Wangsa, melalui Amira Aisya yang juga Timbalan Presidennya.
Pada Ahad, Muda membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan perpaduan, namun berikrar menyokong Rang Undang-undang dikemukakan kerajaan yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq berkata, keputusan parti itu diambil ekoran keputusan memberikan pelepasan tanpa membebaskan (DNAA) kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.
Dalam satu kenyataan, Muda berkata, pihaknya kini akan berada di blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Tanpa Muda, kerajaan perpaduan kekurangan satu kerusi untuk membentuk majoriti dua pertiga di Parlimen.
Pendirian Muda itu turut disampaikan melalui surat kepada kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
"Saya berharap keputusan ini akan mengukuhkan demokrasi di negara ini dan membawa lebih banyak usaha untuk memastikan kemakmuran rakyat," kata Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram