Keputusan kes Ahmad Zahid: Peguam Negara harus beri penjelasan terbuka — DAP


Loke berkata, penjelasan daripada Peguam Negara itu amat penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara.

PEGUAM negara harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Menurut beliau, langkah tersebut adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.

"DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada pelbagai pihak dan orang ramai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang melibatkan Ahmad Zahid.

"Permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.

"DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut," katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Transport Minister Anthony Loke

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. — Bernama

Loke pada masa sama juga menegaskan bahawa partinya sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif di samping turut memastikan tidak wujud campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.

Selepas 77 hari dibicarakan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO pada Isnin dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memberikan keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memberitahu mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, yang juga juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum ini menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

KUALA LUMPUR, 4 Sept -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika sidang media di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin. — Bernama

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari manakala yang kedua pula dihantar pada Februari lalu kepada AGC dengan diiringi fakta dan bukti baharu.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan membabitkan lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan penggunaan dana Yayasan Akalbudi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram