[VIDEO] Keputusan Muda tarik sokongan tak jejas Kerajaan Perpaduan, tapi berisiko jadi parti picisan


  • Massa
  • Isnin, 11 Sep 2023

Tindakan Muda akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan hilang sokongan 2/3 majoriti anggota di Dewan Rakyat.

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuat keputusan untuk menarik semula sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu sebaliknya memilih untuk menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut diambil susulan tanda protes terhadap keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi (YAB) baru-baru ini.

"Kami tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan langkah tidak berprinsip ini.

"Biar saya dihukum daripada kehilangan prinsip saya," katanya menerusi video yang dikongsikan di laman X (Twitter) pada Ahad.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Tambah beliau, antara sebab utama tindakan itu adalah kerana akhir-akhir ini, Kerajaan Perpaduan dilihat mengambil langkah bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

PETALING JAYA, 13 Julai -- Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah)  ketika pengumuman calon barisan pertama MUDA di Selangor  bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri 2023 di Bilik Gerakan MUDA, Kampung Tunku hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Muda membuat keputusan untuk menarik semula sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, beliau memahami keresahan banyak pihak yang mempersoalkan keputusan kes mahkamah Ahmad Zahid, termasuk yang dilemparkan Syed Saddiq.

Namun, ujarnya, keputusan kes berkenaan bukan dalam bidang kuasanya dan 'ugutan' Muda untuk tarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan seolah-olah memintanya untuk campur tangan dalam kes pendakwaan Ahmad Zahid.

“Yang siasat itu kerja SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis, yang dakwa itu kerja Peguam Negara dan yang putuskan (adalah) hakim.

"Mengapa saya kata saya faham sedikit sebanyak keresahan ini? Kerana kita warisi sistem yang sedemikian. Bahawa orang politik rakus, zalim, menggunakan kuasa untuk mendera orang," ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berkata, tidak dinafikan tindakan Muda akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan hilang sokongan dua pertiga (2/3) majoriti anggota di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan, kerajaan tidak akan terjejas dengan penarikan satu kerusi di Parlimen.

Namun jelasnya, keputusan itu hanya akan mengganggu usaha meluluskan usul-usul di Parlimen yang memerlukan sokongan 2/3 anggota di Dewan Rakyat.

"Ada beberapa bahagian tertentu yang memerlukan sokongan 2/3 misalnya nak menambah kerusi dalam persempadanan baru, tetapi ada undang-undang lain yang boleh sahaja diluluskan seperti Belanjawan dan sebagainya.

"Saya tidak melihat ada implikasi lain kerana kerajaan boleh berjalan seperti biasa kerana jumlah 147 tu kuat, kerajaan yang stabil," katanya kepada Majoriti.

Beliau turut berpandangan, bagi impak kesan jangka panjang, Muda berisiko menjadi sebuah parti yang tidak relevan kerana kemungkinan besar ia juga tidak akan diterima oleh Perikatan Nasional (PN).

"PN tidak akan bekerjasama dengan Muda kerana ia parti yang tidak mempunyai pengaruh, malah perkara itu teruji dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.

"Sebelum ini Muda menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana PH beri laluan. Nanti akan datang Muda terpaksa bertanding solo, jadi dia akan jadi macam parti picisan sajalah," ujarnya.

Mazlan Ali berkata, tidak dinafikan tindakan Muda akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan hilang sokongan 2/3 majoriti anggota di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut mengenai sokongan pengundi muda pula, Mazlan berkata, anak muda sebenarnya lebih cenderung ke arah PN kerana ideologi Syed Saddiq sebenarnya sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Parti Muda tidak ada sokongan orang muda, kalau ada, mesti mereka dah menang, tapi Muda sendiri tak dapat tarik sokongan orang muda.

"Muda ni liberal sikit, sebab tu orang muda banyak sokong PAS. Malah, tidak ada bukti yang menunjukkan anak muda menyokong Muda. Kalau tidak, mesti mereka menang banyak dalam pilihan raya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram