Dakwaan DAP gagal tarik sokongan pengundi Melayu tidak benar — Syahredzan


  • Politik
  • Selasa, 19 Sep 2023

Syahredzan berkata, peningkatan penerimaan orang Melayu terhadap DAP itu terbukti terbukti apabila terdapat ramai calon DAP yang kini berupaya memperoleh kemenangan di kawasan Parlimen majoriti Melayu. — Gambar hiasan

AHLI Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan menyifatkan dakwaan yang mengatakan partinya tidak mendapat sokongan pengundi Melayu adalah satu tuduhan yang tidak tepat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi itu berkata, stigma tersebut yang masih terus digunakan pihak lawan untuk memberikan persepsi negatif terhadap DAP adalah jauh daripada realiti sebenar.

Ini kerana menurutnya, sejak kira-kira 15 tahun lalu, sokongan diterima DAP daripada pengundi Melayu menunjukkan peningkatan yang baik.

Malah jelasnya, ia juga terbukti apabila terdapat ramai calon DAP yang kini berupaya memperoleh kemenangan di kawasan Parlimen majoriti Melayu.

"Saya beri contoh, di tempat Setiausaha Agung DAP, saudara Anthony Loke adalah kawasan majoriti Melayu (62 peratus majoriti Melayu).

"Kemudian baru-baru ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang beliau bertanding, beliau menang sekali lagi di kawasan Chennah (46 peratus majoriti Melayu) dengan jumlah majoriti yang meningkat dan ini kawasan majoriti melayu.

"Satu lagi contoh adalah di DUN Sungai Pelek (57 peratus majoriti Melayu) yang merupakan kawasan majoriti hampir 60 peratus Melayu. Calon kami berjaya mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN). Jadi untuk mengatakan kami tak dapat sokongan orang Melayu dan sebagainya itu tidak tepat," katanya ketika ditemui Majoriti.

369267182_17982020405376602_5161394914497719975_n

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan. — Instagram/SyahredzanJohan

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai persepsi mengatakan orang Melayu masih tidak dapat menerima DAP sehingga menyukarkan parti di bawah Kerajaan ketika ini untuk mendapatkan sokongan kumpulan tersebut.

Mengulas lanjut, Syahredzan turut menjadikan kemenangannya di Parlimen Bangi sebagi contoh untuk menunjukkan sokongan positif pengundi Melayu yang diterima DAP.

"Kalau tengok kawasan Parlimen Bangi yang hampir 50 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu, ini bermakna terdapat kira-kira 150,000 pengundi Melayu daripda keseluruhan 300,000 pengundi berdaftar.

"Jadi kalau kita tengok berdasarkan angka semata-mata, maknanya saya lebih layak bercakap tentang orang Melayu daripada Pengerusi Perikatan Nasional (Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jumlah pengundi Melayu (di kawasan) jauh lebih rendah daripada saya.

"Oleh itu, pada saya, kita tidak perlu nak terperangkap dengan polemik ini. Yang lebih penting adalah parti ini parti yang cuba merangkul semua lapisan masyarakat," ujarnya.

Meskipun Parlimen Pagoh merupakan kawasan majoriti Melayu dengan peratusan lebih 70 peratus, jumlah pengundi berdaftar di kawasan tersebut pada 2022 dianggarkan berjumlah 69,000.

Dalam pada itu, walaupun mengakui DAP masih berhadapan dengan persepsi negatif dalam kalangan pengundi Melayu, beliau berkata, perkara itu dilihat sudah menunjukkan perubahan lebih positif.

Katanya, ia boleh dilihat termasuk melalui peningkatan jumlah penyertaan dalam kalangan anak muda Melayu ke dalam parti DAP terutamanya di kawasan Lembah Klang, Johor, Perak dan termasuk Pulau Pinang.

“Jadi proses untuk benar-benar menunjukkan kami mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat semua berbilang bangsa adalah satu proses yg lama. ianya bukan terjadi dalam tempoh yang singkat.

“Proses ini telah dimulakan sejak lebih 15 hingga 10 tahun lepas sampai sekarang dengan pelbagai penambahbaikan yang dilakukan.

“Kalau dulu kita ada satu ahli Parlimen DAP yang berbangsa Melayu. Sekarang ini kita ada tiga. Kemudian kita pun dah ada Exco Melayu daripada DAP dalam kerajaan negeri Selangor,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram