Polis akan panggil semula individu didakwa terlibat kes pukul pelatih TUDM


  • Primer
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Gambar tular individu yang didakwa terlibat dalam kes buli lima pelatih TUDM di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

SIASATAN berhubung kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang kini pada peringkat akhir.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, individu yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih berkenaan akan dipanggil semula untuk disoal siasat pihak polis.

"Jadi kita tunggu siasatan daripada polis dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PjM) Udara Siri 66/2023 di Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh, Perak pada Sabtu.

Beliau menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara am dan TUDM khususnya tidak berkompromi dengan kes buli melibatkan anggota dan pegawainya.

"Berdasarkan peraturan sedia ada dan undang-undang ATM, sesiapa yang melakukan pembulian akan diambil tindakan tegas termasuk pemberhentian tetapi semuanya bergantung kepada hasil siasatan yang dilaksanakan.

2050477

Tangkap layar seorang wanita yang mendakwa adinya dibuli di sebuah pusat latihan tentera udara. — Twitter/@ummiiiiinmo

BACA LAGI : Dakwa pelatih tentera udara dibuli, kakak nekad tuntut keadilan dalam media sosial

"Kita perlu melaksanakan siasatan terperinci sebelum apa-apa tindakan diambil," katanya sambil menambah semua mereka yang disyaki terlibat dalam kes itu telah ditempatkan kembali di unit masing-masing.

Pada 9 Mei lepas, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, pihaknya merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan berhubung kes itu termasuk lima pelatih yang mendakwa menjadi mangsa, selain enam pelatih yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.

Sebelum ini, Ramli mengesahkan pihaknya menerima laporan empat lagi pelatih mendakwa turut menjadi mangsa buli di pangkalan udara itu selepas seorang bapa membuat laporan polis mendakwa anaknya dibuli di situ.

Media melaporkan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan dan kejadian terbongkar selepas keluarga seorang daripada mangsa tampil membuat laporan polis sebelum ditularkan di Twitter. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram