Tiga kes samun bersenjata berlaku, elak guna laluan alternatif di Jalan Pintas Taman Bayan — Polis


  • 112
  • Khamis, 27 Jul 2023

KES samun berkenaan dilapor berlaku pada 15 Oktober 2022 serta 21 dan 25 Jun tahun ini yang menyasarkan pengguna jalan raya yang melalui laluan itu khususnya dalam kalangan warga emas.

ORANG ramai diminta mengelak daripada menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintas Taman Bayan, Batang Kali-Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor, Selangor ketika ini berikutan tiga kes samun bersenjatakan parang yang dilaporkan berlaku di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kes samun berkenaan dilapor berlaku pada 15 Oktober 2022 serta 21 dan 25 Jun tahun ini yang menyasarkan pengguna jalan raya yang melalui laluan itu khususnya dalam kalangan warga emas.

"Suspek yang masih bebas merupakan seorang lelaki tempatan yang menggunakan motosikal dan bersenjatakan parang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Pada masa yang sama, katanya polis turut menggandakan usaha untuk mengesan dan menahan suspek selain mempertingkatkan rondaan di laluan itu.

Ahmad Faizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6065 1021 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram