[VIDEO] Terima 4 laporan kelibat harimau belang di Batang Kali, Goh Tong Jaya, Kuala Kubu Bharu dan Serendah, polis Hulu Selangor pasang kamera


  • 112
  • Ahad, 03 Sep 2023

Polis Hulu Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seekor harimau yang dikatakan berkeliaran, dengan memasang beberapa kamera. — Gambar Hiasan

POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung penampakan seekor harimau belang yang berkeliaran di sekitar kawasan Batang Kali, Goh Tong Jaya, Kuala Kubu Bharu dan Serendah, Selangor baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superitendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengenai perkara itu supaya mereka dapat mengambil tindakan awal untuk memastikan keselamatan masyarakat setempat terjamin.

"Perhilitan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seekor harimau yang dikatakan berkeliaran, dengan memasang beberapa kamera untuk mengenal pasti kedudukan haiwan itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu ketika dihubungi Bernama, Mohd Asri berkata, beberapa orang awam mendakwa melihat sendiri dan mendengar haiwan itu mengaum di kawasan sekitar chalet milik seorang pempengaruh media sosial terkenal di Batang Kali,Selangor pada Sabtu.

"Polis meminta agar orang ramai berwaspada dan sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti berkebun, mendaki bukit, memasuki hutan dan sebagainya di sekitar kawasan berkenaan.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai haiwan itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Hulu Selangor dengan menelefon 03-60641132 bagi membantu pihak berkuasa,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram