PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuat keputusan untuk menarik semula sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu sebaliknya memilih untuk berfungsi sebagai pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan, tindakan itu diambil susulan tanda protes terhadap keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi (YAB) baru-baru ini.
"Kami tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan langkah tidak berprinsip ini.
"Biar saya dihukum daripada kehilangan prinsip saya," katanya menerusi video yang dikongsikan di laman X (Twitter) pada Ahad.
Sementara itu, menurut seorang sumber, keputusan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya sudah lama difikirkan.
"Ini sudah lama berlaku, apabila ditambah dengan kes Ahmad Zahid, Muda sudah tidak boleh terima. Ia bertentangan dengan prinsip parti," kata sumber tersebut.
MUDA telah membuat keputusan untuk jadi pembangkang 3rd Force sebagai tanda protes kerana kerajaan pada hari ini menggugurkan 47 kes rasuah.
Ini adalah permulaan untuk menormalisasikan rasuah.
We cannot & will not tolerate this unprincipled move.
Biar la saya dihukum dari... pic.twitter.com/VBqHeGYauA
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) September 10, 2023
Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.
Tambah beliau, antara sebab utama tindakan itu adalah kerana akhir-akhir ini, Kerajaan Perpaduan dilihat mengambil langkah bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Muda berpegang teguh kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan beberapa keputusan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini bertentangan dengan prinsip dan nilai tersebut.
"Isu integriti dan budaya rasuah turut menjadi faktor mengapa Muda mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram