Selepas Ahmad Zahid, mahkamah dijangka dengar 2 lagi permohonan gugur kes libat individu berprofil tinggi


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada tuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram yang dihadapinya. — Gambar hiasan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram yang dihadapinya.

Pendakwaan tersebut membabitkan kesalahan salah guna kuasa yang melibatkan dana jutaan ringgit daripada pertubuhan yang diasaskannya iaitu Yayasan Akal Budi.

Kpeutusan tersebut ternyata menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan pemerhati dan juga ahli politik negara khususnya di pihak pembangkang terhadap pihak kerajaan.

Untuk rekod, keputusan mahkamah itu dibuat selepas Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bertindak membenarkan permohonan daripada pasukan pendakwaan yang memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Katanya, oleh kerana pendakwaan sudah memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ahmad Zahid, Ahmad Zahid hendaklah dibebaskan mahkamah.

Sebelum itu, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraann Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebelum itu memberi hujah 11 alasan Ahmad Zahid perlu dilepas tanpa dibebaskan.

Antara alasan diberikan pihak pendakwaan membabitkan penerimaan representasi daripada pihak peguam bela yang mengemukakan bukti baharu yang memerlukan kepada siasatan lanjut daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan susulannya pada Selasa, AGC tampil mempertahankan keputusan tersebut dan menegaskan bahawa permohonan itu dibuat kepada mahkamah berdasarkan kepada alasan yang kukuh.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mahkamah dijangka mendengar beberapa permohonan pengguguran tuduhan membabitkan antaranya kes salah guna kuasa dan penggubahan wang haram melibatkan individu berprofil tinggi.

1. Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (dua dari kiri). — Bernama

Pada Khamis, Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan sudah memfailkan permohonan bagi membatalkan keseluruhan 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 4 Oktober 2020.

Ia membabitkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan notis usul tersebut pada Rabu.

Dalam permohonan berkenaan, Rosmah memohon supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapi dalam perbicaraan tersebut.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis terbabit, Rosmah mendakwa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tanpa asas, defektif selain tidak mendedahkan sebarang kesalahan dalam undang-undang.

Susulan daripada itu, Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis menetapkan bahawa pendengaran untuk membatalkan pertuduhan terbabit akan didengar pada 13 Disember depan.

Sebelum itu, perbicaraan membabitkan Rosmah itu mula berjalan pada 24 Ogos lalu dengan dua orang saksi sudah dipanggil bagi memberi keterangan.

2. Najib Razak

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah).

Pada 9 Ogos lalu, Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara menghantar representasi kedua untuk menggugurkan tuduhan pecah amanah yang dihadapinya bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pihak pendakwaan sebelum itu turut menerima representasi kedua daripada peguam Mohd Irwan, Datuk K Kumaraendran yang turut mahu supaya pertuduhan dihadapi anak guamnya digugurkan.

Susulan daripada representasi terbaharu dikemukakan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan pada 12 September ini bagi tarikh pengurusan kes untuk pihak pendakwaan memaklumkan status representasi.

Sebelum ini, Najib mengemukakan representasi pertamanya dua tahun lalu, namun ditolak.

Sementara itu, representasi dihantar oleh Mohd Irwan pada 2020 tidak dijawab oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) yang kemudiannya menghantar permohonan representasi baharu pada Mac lalu.

Najib dan Mohd Irwan masing-masing dituduh atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC).

Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah semasa pertuduhan dibacakan di Mahkamah pada 24 Oktober 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram