[VIDEO] 'King' terperosok dalam kedai, elak haiwan melintas jalan di Segamat


  • 112
  • Isnin, 18 Sep 2023

Keadaan kereta mangsa yang terperosok di bahagian hadapan kedai terbabit selepas terbabas dalam kemalangan di Jalan Muar-Segamat dekat Kampung Lubuk Batu, Segamat pada Ahad. — Facebook/KomunitiRodaJohor

DUA rakan berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki terbabas selepas cuba mengelak haiwan melintas jalan sehingga menyebabkannya merempuh sebuah kedai di Jalan Muar-Segamat dekat Kampung Lubuk Batu, Segamat pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa dan rakannya yang menaiki Perodua Myvi itu sedang dalam perjalanan ke Segamat.

Ujarnya, kejadian kemalangan yang menyaksikan kenderaan tersebut melambung hingga terperosok di hadapan kedai runcit terbabit berlaku pada pukul 6.15 petang.

"Siasatan awal mendapati, pemandu kereta berumur 25 tahun gagal mengawal kenderaannya kerana mengelak haiwan melintas lalu melanggar tebing rumput bahu jalan kanan sebelum merempuh tiang anjung bumbung serta bahagian rak simen depan kedai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

379572796_177862188672669_3033257170856366504_n

Keadaan kereta mangsa yang terperosok di depan kedai terbabit. — Facebook/KomunitiRodaJohor

Ahmad Zamry berkata, pemandu dan penumpang kereta yang berumur 22 tahun itu bagaimanapun bernasib baik apabila tidak mengalami kecederaan.

Ujarnya, pemilik kedai juga terselamat kerana berada di bahagian belakang kedai dan tiada pelanggan berada di dalam premis ketika kemalangan berlaku.

Sehubungan itu, Ahmad Zamry memohon orang awam yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) di talian 07-9325811.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram