SEORANG penunggang motosikal warga emas mengalami kecederaan parah apabila dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Mazda berwarna hitam di Ampang pada pukul 12.47 tengah hari, Sabtu.
Menurut anak sulung mangsa, Mohd Firdaus, 30, ayahnya yang berumur 66 tahun ketika itu sedang dalam perjalanan dari Gombak untuk melawat adiknya yang mendapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.
"Ayah on the way nak lawat adik yang terlantar di hospital sejak dimasukkan pada 18 Julai lalu kerana kemalangan dan masih tidak sedarkan diri. Adik pun kes langgar lari juga," katanya kepada Majoriti.
Berhubung kemalangan ayahnya, Firdaus memaklumkan bahawa selepas dilanggar kereta, bapanya itu terpaksa bangun sendiri untuk ke hospital berdekatan dalam keadaan berlumuran darah.
"Mujur ada kereta yang membantu ayah dengan mengekorinya dari belakang," katanya lagi sambil memberitahu, ayahnya tidak sempat menziarahi adiknya berikutan kemalangan berkenaan.
Firdaus berkata, ayahnya masih berada dalam keadaan lemah disebabkan insiden itu dan menerima rawatan di Hospital Ampang, Selangor.
"Buat masa sekarang, ayah saya terima dalam enam jahitan di kepala. Doktor juga ada beritahu ayah ada kemungkinan kena strok," katanya.
Menurut Firdaus lagi, dia kesal dengan apa yang menimpa ayahnya kerana nasib warga emas itu sama seperti yang berlaku kepada adiknya pada Julai lepas.
"Kedua-duanya jadi mangsa langgar lari cuma kemalangan yang menimpa adik tiada rakaman dashcam untuk membantu mencari pelaku," ujarnya.
Mengimbas kembali kemalangan yang berlaku kepada adiknya, Khairul Muzzammir, Firdaus berkata, ia berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi di depan lebuh raya Uptown Sri Gombak menghala Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2).
Menurut Firdaus, laporan polis sudah dibuat, namun masih belum ada apa-apa respons daripada polis mengenai pelaku selepas memberi butiran kemalangan yang diperoleh melalui rakaman video 'dashcam'.
Katanya, setakat ini, ada seorang orang awam menghubunginya dan memberitahu bahawa dia mengetahui lokasi pelaku itu kerana dapat mengenal pasti nombor plat kereta yang melanggar ayahnya.
"Saya harap ada tindakan segera daripada pihak polis mengenai kejadian yang menimpa ayah saya dan adik juga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram