[VIDEO] Wanita maut motor kena rempuh kereta kejar lampu kuning di Marang


  • 112
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Susulan pelanggaran tersebut, mangsa tercampak jatuh ke atas jalan manakala motosikalnya terperosok ke tengah pembahagi jalan dan turut mengenai bahagian hadapan kereta Perodua Viva dinaiki 5 sekeluarga yang sedang menunggu lampu isyarat. — Ganu Lensa

SEORANG wanita maut selepas motosikal ditunganggnya dirempuh sebuah kereta dekat lampu isyarat dekat kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Bukit Payong, Marang, Terengganu pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Nur Ainun Mardhiah Mohd Zainuddin, 21, yang bekerja sebagai jurujual meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dalam perjalanan dari arah Kampung Surau Haji Mat Zin bagi pulang ke rumahnya di Kampung Rawai Bukit Payong.

Bagaimanapun, apabila tiba di persimpangan empat dekat lokasi, sebuah Perodua Kelisa dipercayai meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat bertukar kuning sebelum melanggar motosikal mangsa yang tiba-tiba datang dari arah kanan.

Screenshot 2023-09-15 200809

Keadaan motosikal mangsa akibat kemalangan maut tersebut. — Ganu Lensa

Mohd Zain berkata, Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 24 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Berang menghala ke Kuala Terengganu.

Susulan pelanggaran tersebut, mangsa tercampak jatuh ke atas jalan manakala motosikalnya terperosok ke tengah pembahagi jalan dan turut mengenai bahagian hadapan kereta Perodua Viva dinaiki 5 sekeluarga yang sedang menunggu lampu isyarat.

Mohd Zain berkata, Perodua Kelisa terlibat remuk di bahagian hadapan sebelah kanan dengan pemandunya mengalami kecederaan di tangan sebelah kanan, manakala lima sekeluarga yang menaiki Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram