[VIDEO] Wanita bertekak dengan pekerja katering sebab lauk kenduri


  • Tular
  • Ahad, 17 Sep 2023

Tangkap layar gelagat seorang wanita berperang mulut dengan staf katering hanya gara-gara ingin membungkus lauk kenduri.

KEBIASAANNYA pada penghujung majlis tertentu, tuan rumah akan tapau makanan buat saudara mara dan tetamu sama ada yang jauh mahupun yang dekat sekiranya lauk masih lagi berbaki.

Baru-baru ini, tular video menunjukkan seorang wanita berperang mulut dengan staf katering hanya gara-gara ingin membungkus lauk kenduri.

Lebih menghairankan netizen, permintaan itu dibuat sebelum majlis perkahwinan tersebut bermula.

Insiden yang difahamkan berlaku pada pukul 10.30 pagi itu dikongsikan di platform TikTok oleh akaun wan_takaful pada Sabtu.

Menerusi video berdurasi 44 saat itu, kedengaran pekerja katering tersebut memberitahu wanita berkenaan bahawa dia tidak boleh membungkus makanan tersebut kerana majlis belum lagi bermula.

Jelas mereka, jika wanita itu berkeras ingin membungkus makanan, dia perlu tunggu sehingga penghujung majlis.

Enggan mendengar penjelasan pekerja tersebut, dia tetap berdegil mahu permintaannya dituruti.

"Mereka kan dah bayar (katering), setakat satu dua bungkus takkan tak boleh tapau? Tak kira, beritahu pengurus, acik (makcik) nak juga," katanya kepada pekerja berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan kemarahan mereka apabila melihat keletah 'makcik tapau' itu yang disifatkan keterlaluan.

"Saya pekerja katering juga, biasa kalau ada yang macam ini, saya akan tanya tuan rumah dulu. Memang ada pun jenis macam ini, lepas tu kata kami kedekut," tulis Shafikah Hassim.

"Bagus budak katering tu, lawan tetap lawan," kata maklongcute.

"Tak silap pernah dengar ustaz cakap, bila pergi kenduri kahwin, kalau nak bungkus kena minta izin tuan rumah, kalau tak hukumnya haram," ujar ienaAmmar.

Untuk makluman, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini pernah menjelaskan bahawa hukum membungkus makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada pihak tuan rumah atau tuan majlis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram