SEORANG wanita meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati terhadap pasangan yang dikatakan penipu dengan memberi cek tendang untuk membayar majlis perkahwinan bernilai RM26,000.
Mangsa yang dikenali sebagai Nabila Zainol kongsikan pengalamannya itu di Facebook yang mengatakan pasangan terbabit meminta juadah dua ekor kambing golek untuk hidangan 1,850 orang tetamu termasuk makanan beradab pengantin, dome lima set bersama minuman botol sebanyak 1,000 unit.
Menurutnya, suspek tidak membayar wang pendahuluan kerana berjanji untuk melunaskan keseluruhan bayaran selepas majlis selesai.
Katanya, jika tidak mempunyai bajet untuk mengadakan majlis secara mewah, lebih baik membuat acara secara sederhana dan ukur baju di badan sendiri.
“Kita ini bukan tidak meminta depo (deposit). Sudah diminta depo, sampai sehari sebelum majlis sudah minta depo, tetapi tiada juga.
“Sebab memikirkan kasihan esok mereka tiada makanan dan janji ingin bayar penuh lepas majlis, kita teruskan sahaja memandangkan (pengantin) orang kampung dan ada bau bacang (pertalian keluarga).
Nabila mendedahkan dirinya menjadi mangsa penipuan pasangan sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM26,000.
“Sebelum ini tiada orang kampung yang tidak membayar duit katering, tetapi dia ini entah sesat mana tidak reti membayar,” tulisnya di Facebook.
Bagaimanapun dia tidak menyatakan tarikh dan lokasi perkahwinan itu dilangsungkan.
Dalam pada itu Majoriti turut membuat tinjauan di bahagian komen dan mendapati pemilik katering itu merupakan bapa mentuanya di Teluk Intan, Perak.
Difahamkan juga keluarga mangsa akan mengambil tindakan undang-undang keatas suspek yang dipercayai berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat manakala pasangannya, kakitangan penyelenggaraan di Istana Negara.
Tangkap layar dua individu yang dikongsikan Nabila di Facebook yang dipercayai tidak menjelaskan bayaran majlis perkahwinan.
“Minta tempoh dua bulan hendak bayar selepas kantoi (diketahui) cek tendang. Tetapi sudah hendak masuk bulan 10 masih sendu. Siap ugut kalau viral (tular) tidak mahu bayar.
“Mentua akan bawa pergi ke peguam dan polis. Sudah dapat beberapa orang mangsa lain yang sudah kena scam (tipu) dengan dia,” ujarnya.
Dalam pada itu seorang pengguna media sosial turut meluahkan rasa simpati kepada tetamu yang hadir kerana sudah mengetahui makanan yang dihidang masih belum dibayar.
"Kenapa tidak bayar. Bagi makan orang tidak ikhlas. Kasihan kepada tetamu yang datang boleh dapat dosa kering," kata Lela Lela.
Meninjau ke laman Facebook pasangan terbabit yang dikenali sebagai Dynars Dynars dan Hazwan Dinie, mereka dipercayai melangsungkan perkahwinan sekitar Julai lalu selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram