RAKYAT jaga rakyat, itulah ungkapan yang sesuai atas tindakan murni pasangan pengantin di Meru, Klang, Selangor yang membantu mangsa banjir setelah majlis perkahwinan mereka terpaksa ditunda pada Ahad ekoran banjir yang melanda.
Video yang tular menerusi hantaran dari pengguna TikTok @erinnerene itu, menunjukkan pengantin tersebut bertindak dengan memberi lauk kenduri mereka kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang.
VIDEO agihan makanan yang diberi kepada mangsa banjir
Lebih mengharukan warganet apabila pihak katering turut membantu bersama untuk mengagihkan makanan tersebut dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan itu.
"Pihak katering masak turun padang sekali bagi orang makan. Terima kasih Grand Gerbang Hall, Meru, Klang," kata erinnerene di video itu.
Menerusi video dan gambar yang dikongsikan, kelihatan orang ramai beratur mengambil juadah yang disumbangkan oleh mereka.
Rata-rata pengguna TikTok di hantaran itu memberi komen yang sangat positif dan menyifatkan tindakan pengantin itu sangat murni serta mereka mendoakan pengantin tersebut supaya dimurahkan rezeki atas pertolongan mereka untuk mangsa banjir.
"Kalau buat dekat dewan pun, tidak tahu berapa banyak yang datang. Daripada bazir makanan tu, lebih baik disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Pahala besar buat pengantin," kata pengguna TikTok, maisara85.
"Semoga dimurahkan rezeki seluruh keluarga pengantin. Terima kasih kongsi rezeki bersama-sama mangsa banjir," komen dari pengguna TikTok, Qakakeskepal.
"Alhamdulillah. Terima kasih ya ALLAH, kau hadirkan anak muda yang besar jiwanya kepada saudaranya. Semoga pengantin dimurahkan rezeki dunia dan akhirat," kata SyaifudinSa'ari.
Setakat ini, di Selangor, seramai 32,044 mangsa banjir berjaya ditempatkan di 162 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri tersebut setakat 10 pagi Isnin.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram