Ketuai Jabatan Komunikasi JPM, Agus rangka usaha perbaiki hubungan antara kaum


  • Primer
  • Khamis, 02 Feb 2023

Mohammad Agus dilantik mengetuai J-Kom pada Khamis.

JABATAN Komunikasi Komuniti (J-Kom) sedang berusaha untuk memperbaiki pengaruh media sosial yang telah membawa banyak kesan negatif kepada hubungan antara kaum.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, episod Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) telah memisahkan masyarakat.

"Bagi memulihkan kembali keadaan ini, J-Kom akan berusaha untuk mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan tataetika yang betul supaya semangat patriotisme, hubungan baik dan toleransi sesama rakyat akan kembali kuat dan subur.

"J-Kom juga akan berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan seluruh agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), belia dan pemimpin masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lantikannya sebagai Ketua Pengarah J-Kom, Mohammad Agus berkata, dia menerima lantikannya itu sebagai satu tanggungjawab besar.

Jelasnya, dia mahu bersama kerajaan perpaduan bukan sahaja untuk membangunkan negara daripada segi ekonomi dan Infrastruktur, tetapi juga daripada segi sahsiah dan masyarakat.

"Daripada segi sahsiah adalah untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dengan maklumat yang betul dan tepat bagi memastikan rakyat memahami serta mendokong misi kerajaan dalam merealisasikan Malaysia Madani.

"Daripada segi masyarakat pula adalah untuk mendidik dan menyedarkan rakyat mengenai keperluan untuk saling menghormati serta bersatu supaya tidak wujud sikap ekstremisme agama, kaum," katanya.

Ujarnya, untuk mencapai hasrat di atas bukan mudah dan tentunya tidak boleh dilakukan sendiri.

Oleh itu, ujarnya, K-Kom memerlukan kerjasama dan sokongan dari semua supaya dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik.

"Tiga teras utama J-Kom iaitu membudayakan ilmu, membudayakan masyarakat berkemahiran digital dan mengukuhkan semangat patriotik rakyat akan kami laksanakan mengikut acuan Malaysia Madani.

"Program-program yang bakal kami laksanakan nanti dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang maju, harmoni, dan sejahtera," katanya.

Prof Agus sebelum ini bersara daripada menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Julai 2022.

Semasa PRU15 lalu, Mohammad Agus dalam nota persaraannya secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai PM Ke 10.

Selain itu, Prof Agus juga mempertahankan penglibatannya dengan kumpulan profesor Melayu berkenaan yang secara terbuka menyokong Anwar dilantik sebagai PM melalui dokumen “Deklarasi Profesor Melayu G70” ketika kempen PRU15 sedang berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram