Rutin Ogos, kali ini atuk Tazar cipta replika kereta kebal, helikopter guna bahan terpakai


Tazar bergambar di samping replika kereta kebal yang diperbuat daripada bahan terbuang dan diletakkan di hadapan gerai miliknya di Ipoh. — Bernama

SEORANG warga emas mencipta pelbagai replika daripada bahan terpakai dan dihiasi Jalur Gemilang sebagai tanda cintanya kepada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Tazar Alang Ibrahim, 62, membina replika kereta kebal, meriam dan helikopter menggunakan tayar, besi dan plastik terpakai.

Replika tersebut diletakkan di gerai nasi lemak miliknya berhampiran Masjid Muhammadiah di Tasek, Ipoh, Perak.

Barangan unik itu menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di gerai tersebut sebelum mereka merakam gambar dan berkongsinya di media sosial.

Tazar berkata, ada pengunjung yang datang jauh dari Melaka dan Pulau Pinang semata-mata untuk melihat replika berkenaan.

Menurutnya, dia memanfaatkan bahan terbuang itu untuk mencipta replika bagi memeriahkan sambutan 31 Ogos yang penuh bermakna memandangkan amalan kitar semula semakin dilupakan.

“Saya sudah berkecimpung dalam pembuatan replika ini sejak 1998 kerana saya seronok melihat warna-warna terang Jalur Gemilang dalam setiap ciptaan saya,” kata Tazar.

“Tahun ini, saya menghasilkan replika kereta kebal, meriam dan helikopter menggunakan wang saya sendiri dan beberapa bahan terbuang seperti tayar lama, plastik dan besi,” katanya.

Tambah bapa kepada dua anak itu, dia biasanya akan menyiapkan rekaannya pada minggu pertama bulan Ogos.

“Saya mengambil gambar dan memuat naik di Facebook untuk mencipta kemeriahan menyambut Hari Kebangsaan. Ada yang memberi komen positif,” tambahnya.

Tazar turut menggalakkan generasi muda untuk menunjukkan semangat patriotik bukan hanya semasa Bulan Kemerdekaan, tetapi juga dalam kehidupan seharian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram