[VIDEO] Motosikal, kereta kena sita? Ikuti prosedur mudah tuntut kenderaan daripada JPJ


  • Massa
  • Khamis, 14 Sep 2023

JPJ akan mengambil tindakan sewajarnya dengan mengambil kira beberapa perkara sebelum menyita sesebuah kenderaan.

BARU-BARU ini warga maya dikecohkan dengan kisah seorang penghantar makanan yang terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah selepas motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sekatan jalan raya dipercayai sekitar Bandar Baru Nilai, Nilai, Negeri Sembilan.

Menerusi video tular itu, dengan tidak menanggalkan topi keledarnya, lelaki berkenaan dilihat berjalan di bawah cuaca terik meninggalkan kawasan tersebut dalam keadaan lemah.

Rakaman itu mengundang sebak dalam kalangan netizen, hingga membuatkan seorang pempengaruh, Aisar Khaled bermurah hati membantu penghantar makanan itu.

Aisar telah membawa lelaki tersebut ke sebuah kedai bagi membeli motosikal baharu untuknya. Tidak dinafikan, rata-rata pengguna media sosial memuji niat murni pempengaruh itu.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang berpandangan bahawa tindakan Aisar hanyalah sekadar content yang dirancang untuk menarik lebih banyak penonton dan pengikut di laman sosialnya.

Ramai juga netizen mengkritik Aisar yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan atas nasib malang yang menimpa orang lain, sedangkan salah tetap salah.

Malah, perbuatan tersebut juga dilihat seperti menyokong kesalahan undang-undang jalan raya yang dibuat oleh penghantar makanan tersebut, sedangkan salah tetap salah.

JPJ turut memaklumkan bahawa motosikal tersebut tiada insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga sebenarnya telah tamat tempoh.

Sementara itu, laman Facebook Brainless Driver Malaysia Edition turut menyuarakan pandangan mereka berhubung situasi tersebut.

Mereka berpendapat, JPJ telah mengambil tindakan sewajarnya dengan mengambil kira beberapa perkara sebelum menyita sesebuah kenderaan.

Ini termasuklah tempoh berapa lama cukai jalan sesebuah kenderaan tamat tempoh.

"Penguat kuasa akan diberi tempoh masa untuk dijadikan sebagai rujukan sebelum sita. Kalau sebulan dua mati roadtax, jaranglah kita dengar kena sita kan? Bila terlalu lama tak hidupkan roadtax baru akan disita," katanya.

Laman Facebook itu turut menjelaskan bahawa sita adalah satu perkara biasa.

Kenderaan yang disita juga boleh ditebus semula dengan mengikut prosedur yang ditetapkan pihak penguat kuasa.

"Hidupkan (perbaharui) cukai jalan, buat permohonan dilepaskan sita dan boleh guna balik motor macam biasa apabila dah ikut prosedur. Dalam Malaysia dah banyak kes sita dan boleh dilepaskan.

"Saman mahkamah pula melibatkan tempoh tertentu. Selalunya tiga bulan dari tarikh saman baru perlu naik mahkamah.

"Perlu ingat, majistret juga ada budi bicara. Boleh buat rayuan untuk kurangkan denda dan jika bernasib baik dan kes kali pertama, selalunya majistret boleh bagi diskaun dan mungkin lebih murah daripada harga kompaun. Bukan hari ini saman esok wajib bayar, ada tempoh yang perlu diikuti," ujarnya.

Kenderaan yang disita juga boleh ditebus semula dengan mengikut prosedur yang ditetapkan pihak penguat kuasa.

Selain itu jelas akaun Facebook itu lagi, pengguna juga sentiasa memikirkan risiko yang boleh berlaku di atas jalan raya.

Menurutnya, cukai jalan akan datang sekali dengan insurans.

"Atas jalan risiko besar, kenderaan banyak dan sikap pemandu yang ada pasang surutnya. Jadi, bab ini paling penting kalau terjadi kemalangan.

"Kita tak minta kemalangan tapi kalau terjadi, kita perlukan perlindungan untuk diri dan kenderaan. Mungkin tak dapat lindungi semua tapi dapat lindung sikit pun dah bagus. Minimumkan risiko dan kerugian," katanya.

Dalam pada itu, di laman web JPJ menjelaskan, pegawai JPJ boleh menyita kenderaan bagi tujuan mengenal pasti identiti pemandu, identiti kenderaan atau untuk memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenderaan yang disita oleh JPJ boleh dituntut atau dilepaskan apabila perkara berikut diselesaikan:

a) Setelah identiti pemandu atau kenderaan dikenal pasti

b) Kesalahan yang dilakukan telah diberhentikan

c) Dilepaskan oleh mahkamah

Prosedur untuk mendapatkan kembali kenderaan setelah disita tidaklah sesukar mana kerana hanya memerlukan beberapa dokumen yang sah dan masih berkuat kuasa.

Pemilik berdaftar dan pihak yang menuntut perlu hadir ke pejabat JPJ di mana kenderaan itu disita untuk menuntut kenderaan dengan membawa bersama-sama dokumen tertentu.

Ini termasuklah, permohonan atau tuntutan secara bertulis, kad pendaftaran asal, LKM dan insurans yang sah.

Selain itu, perlu juga bawa bersama lesen memandu yang sah dan masih berkuat kuasa, kad pengenalan, permit asal (untuk kenderaan perdagangan atau sekolah memandu) dan Borang 49 (untuk kegunaan syarikat). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram