TREND menggunakan media sosial terutama Facebook bagi mendapatkan pelanggan dikesan dilakukan oleh sindiket penjualan kenderaan klon.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sindiket terbabit secara terbuka mengiklankan kenderaan klon menerusi platform tersebut bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai tawaran harga murah berbanding sebelum ini yakni kegiatan itu dilakukan secara sembunyi.
"Kenderaan mewah dari negara jiran diimport kerana mempunyai permintaan tinggi di negara ini. Peminat kereta mewah sanggup membelakangkan undang-undang asalkan dapat memiliki kereta impian dengan harga lebih murah.
"Kebiasaan pembeli tahu kereta tersebut merupakan kereta klon, mereka tertarik kerana harga murah berbanding di pasaran. Harga yang dijual tidak munasabah iaitu bermula RM5,000 hingga RM20,000 bagi kereta jenama seperti Honda Jazz dan Mini Cooper," katanya pada sidang media lelongan awam siri 1/2022 JPJ Negeri Sembilan pada Khamis
Katanya, kenderaan klon boleh memberi implikasi buruk kepada pemandu atau penumpang jika berlaku kemalangan kerana tidak dilindungi insurans dan pengguna kenderaan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Hanif Yusabra, berkata pihaknya telah menyita 64 kenderaan klon di sekitar negeri ini sejak tahun 2016 sehingga kini, menerusi operasi yang dijalankan hasil aduan orang ramai.
Beliau berkata pada 2021, empat kenderaan klon iaitu tiga kereta yang terdiri daripada Suzuki Swift, Volkswagen Golf dan Toyota Grandis serta sebuah motosikal jenis RXZ telah disita.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mengadakan lelongan awam kenderaan sita melibatkan 83 kenderaan di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya, Negeri Sembilan pada 15 Februari depan.
Katanya, 400 buku acara lelong itu kini dijual di kaunter JPJ Seremban, Kuala Pilah dan Jempol dengan harga RM50 senaskhah.
Orang ramai boleh melihat kenderaan tersebut di Stor Simpanan Kenderaan Sita JPJ Seremban bermula 9 pagi hingga 4 petang pada 7 hingga 10 Februari depan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram